PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger ketika sesi latihan skuad The Gunners. - Foto REUTERS
PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger ketika sesi latihan skuad The Gunners. - Foto REUTERS

ARSENE Wenger mengakui hari ini jangka masa pemergiannya dari Arsenal selepas lebih dua dekad sebagai pengurus bukanlah atas kehendaknya.

Pengendali berusia 68 tahun dari Perancis itu – yang membimbing Gunners meraih dua gelaran domestik serta gelaran “Invincibles” 2004 selain rekod tujuh Piala FA – akan menyerahkan kuasa kepada pengurus baharu selepas musim ini.

Wenger mengumumkan Jumaat lalu dia akan meletak jawatan setahun sebelum kontraknya tamat selepas satu lagi kegagalan mencabar gelaran Liga Perdana.

Kelab berkenaan, keenam dalam liga ketika ini, terdesak untuk memenangi Liga Europa sebagai laluan kembali ke Liga Juara-Juara musim depan.

Wenger, bercakap kepada wartawan menjelang saingan separuh akhir pertama menentang Atletico Madrid, menyatakan dengan jelas dia tidak ada kuasa terhadap takdirnya.

“Jangka masa itu (meletak jawatan) sebenarnya bukanlah keputusan saya,” kata bos Arsenal itu sambil menambah dia tidak menjangka akan bersara daripada sukan itu.

“Pada ketika ini saya melakukan tugas saya, meneruskan rutin saya dan fokus apa yang saya mahu lakukan setiap hari,” katanya.

“Pada ketika ini saya bekerja seperti biasa. Anda tidak pernah yakin anda melakukan perkara yang betul, tetapi kehidupan sesuatu yang menarik kerana anda perlu berdepan situasi berbeza. Orang mahu tahu mengenai masa depan, bagi saya ia sangat normal.

“Secara jujur saya tidak tahu apa yang saya akan buat. Adakah saya akan berehat seketika? Saya akan terus bekerja, itu sudah pasti. Pada ketika ini saya tiada apa-apa yang mahu dilakukan.” - AFP

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 11:26 PM