ARSENE WENGER
ARSENE WENGER

LONDON: Arsenal mempunyai tempoh singkat untuk mencerna keputusan Arsene Wenger menoktahkan kariernya selama 22 tahun bersama kelab itu dengan trofi Liga Europa memberi peluang buat pengurus itu mengembalikan maruah.

Pengendali dari Perancis itu mengakui keputusannya untuk mengundur diri adalah untuk memuaskan hati peminat yang tampak kecewa dengannya di sebalik deretan kejayaan yang pernah diraihnya.

Sejak kali terakhir menjulang trofi Liga Perdana Inggeris 14 tahun lalu, Wenger mempertahankan kedudukannya apabila secara konsisten layak ke kempen Liga Juara-Juara.

Begitupun, penampilan selama 19 tahun berturut-turut di kancah elit Eropah itu berakhir musim ini dengan peluang Gunners untuk layak beraksi musim depan adalah dengan menjuarai Liga Europa.

Untuk melakukannya, Wenger perlu mencapai sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sekalipun ketika di puncak kerjaya - menjulang trofi di peringkat Eropah - bermula dengan aksi separuh akhir pertama menentang Atletico Madrid di gelanggang sendiri, awal pagi Jumaat ini.

“Saya gembira kami kini boleh bercakap mengenai legasinya dan jangan lupa kami masih boleh memenangi Liga Europa,” kata legenda Arsenal, Thierry Henry.

“Jangan kita hilang peluang untuk meraikan pengakhiran eranya. Pasukan perlu menang Liga Europa.

“Ia akan menjadi pencapaian yang menakjubkan dan disebabkan Arsene tidak pernah menang di Eropah sebelum ini, ia cara yang hebat untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya.”

Apa yang pasti, rekod Wenger di pentas Eropah tidak begitu baik. Di bawah kendaliannya, Arsenal tewas dua aksi di pentas final pertama kepada kelab Turki, Galatasaray dalam aksi Piala UEFA 2000 dan Liga Juara-Juara pada 2006 di tangan Barcelona.

Pada 1992, Wenger yang ketika itu mengendalikan Monaco tumbang pada final Piala Pemenang Piala kepada kelab Jerman, Werder Bremen sekali gus mencetus rekod buruk muncul satu-satunya pengurus yang berjaya ke tiga pentas final Eropah tetapi tewas semuanya.

Begitupun, Wenger boleh memperbaiki legasinya dan meninggalkan Arsenal dengan nota hebat jika mara ke final dan menang pada aksi di gelanggang Lyon sekali gus tiket Liga Juara-Juara. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 2:07 PM