KLOPP (kanan) kurang gembira kerana gagal atasi West Brom. -Foto Reuters
KLOPP (kanan) kurang gembira kerana gagal atasi West Brom. -Foto Reuters
AFP

WEST BROMWICH: Jurgen Klopp sekali lagi menyaksikan Mohamed Salah meledak gol dalam musim yang cukup cemerlang bersama Liverpool, namun kegagalan meraih mata penuh ketika seri 2-2 bertemu West Bromwich Albion menyaksikan pengurus Reds itu kurang teruja dengan pencapaian anak buahnya di gelanggang lawan awal pagi tadi.

Salah menjaringkan gol kedua Liverpool ketika mereka dilihat mendominasi perlawanan dengan mendahului 2-0 menentang kelab bawahan itu.

Jaringan itu adalah yang ke-41 diraih Salah dalam 46 perlawanan di semua saingan dan menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu di saingan liga, Luis Suarez empat tahun lalu dengan 31 gol semusim .

Klopp juga menyaksikan Danny Ings menjaringkan gol pertamanya sejak Oktober 2015 untuk terlebih dulu meletakkan Liverpool di depan 1-0, namun dua gol lewat permainan dari West Brom menyebabkan Klopp tidak berselera untuk meraikan rekod luar biasa dilakar Salah.

“Sudah tentu saya gembira dengan prestasinya,” kata Klopp merujuk kepada Salah.

“Tapi seperti Salah, paling utama adalah kami mahu memenangi perlawanan ini. Sebab itu jika kami memenangi perlawanan ini, saya lebih gemar bercerita lanjut mengenai prestasi Salah,” katanya.

Ings yang hanya beraksi di saingan liga buat kali kedua sejak Oktober 2015 selepas berdepan kecederaan ligamen lutut, mencuri tumpuan hanya selepas empat minit perlawanan.

“Jelas sekali jika Ings cergas sepenuhnya, dia mampu untuk menjaringkan gol. Saya gembira kerana dia dapat melakukannya dan jelas sekali Ings dapat memberi ancaman kepada lawan,” katanya.

Salah menjaringkan gol kedua pada minit ke-71, namun Jake Livermore merapatkan jurang minit ke-78 sebelum Salomon Rondon menyamakan kedudukan minit ke-88.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 9:11 AM