BONNIE  ketika beraksi dalam acara para powerlifting kategori lightweight final di Carrara Sports and Leisure Centre. - FOTO/YAZIT RAZALI
BONNIE ketika beraksi dalam acara para powerlifting kategori lightweight final di Carrara Sports and Leisure Centre. - FOTO/YAZIT RAZALI
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam

 

MESKIPUN gagal meraih pingat gangsa dalam acara powerlifting bagi kategori lightweight, Bonnie Bunyau Gustin melakar sejarah tersendiri sepanjang kariernya yang baru berusia tiga tahun.

Menerusi angkatan 166kg yang dilakukannya di Carrara Sports and Leisure Centre, Bonnie dua kali memecahkan rekod remaja dunia bagi kategori 65kg yang dilakukannya di Mexico City tahun lalu iaitu 156kg.

Atlet berusia 18 tahun itu berjaya melepasi angkatan pertama 155kg, disusuli 161kg pada angkatan kedua sebelum melepasi angkatan 166kg bagi membolehkannya memecahkan rekod itu.

Emas dan perak menjadi milik atlet Nigeria Roland Ezuruike dan Paul Kehinde, sementara Ali Jawad dari England meraih gangsa.

“Hari yang baik kerana dapat memecahkan rekod dunia, puas hati apabila berada di tangga keempat,” kata Bonnie.

“Di Dubai Februari lalu, saya lakukan angkatan 157kg dan kali ini prestasi saya lebih baik dengan 166kg, ia rekod peribadi dan juga rekod dunia.

“Ia pengalaman yang baik buat saya kerana bertanding dengan juara dunia dan belajar daripada mereka.”

Bagi jurulatihnya Jamil Adam, anak buahnya sudah melakukan yang terbaik malah melebihi tahap peribadi terbaik yang dilakukan sebelum ini.

“Dia berjaya memecahkan rekod remaja dunia biarpun ini penampilan pertamanya dalam temasya sukan yang besar seperti Sukan Komanwel. Bagi saya dia adalah atlet yang mempunyai masa depan yang cerah.

“Usianya masih muda dan perjalanannya masih jauh. Dia berjaya menyaingi atlet lebih berusia daripadanya dan ini satu petanda yang bagus. Selepas P Mariappan, dia adalah antara yang terbaik,” kata Jamil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 12:01 PM