PENYERANG Napoli, Dries Mertens (kiri) gagal menyempurnakan penalti ketika bertemu Chievo. - Foto AFP
PENYERANG Napoli, Dries Mertens (kiri) gagal menyempurnakan penalti ketika bertemu Chievo. - Foto AFP

MILAN: Napoli terlepas sepakan penalti sebelum bangkit meledak dua gol lewat permainan ketika menang 2-1, mengatasi pasukan bawahan, Chievo awal pagi tadi dan meneruskan pemburuan gelaran Serie A.

Cabaran terhadap gelaran Napoli tampak pudar selepas sepakan penalti yang diambil Dries Mertens diselamatkan pada awal babak kedua.

Keadaan semakin parah apabila pemain Chievo, Mariusz Stepinski meletakkan skuad bergelar Flying Donkeys itu di depan berbaki 17 minit permainan.

Namun pemain gantian, Arkadiusz Milik menanduk masuk gol penyamaan ketika saingan berbaki satu minit.

Dan, Amadou Diawara mencipta gol kemenangan ketika tambahan masa tiga minit - jaringan pertamanya dalam Serie A, seterusnya meletakkan Napoli empat mata di belakang pendahulu, Juventus.

Juventus, yang mengejar kejuaraan ketujuh berturut-turut, mendahului dengan 81 mata selepas kemenangan 4-2 di Benevento semalam, dengan Napoli mengumpul 77 mata, Lazio dan Roma masing-masing 60 dan Inter Milan 59.

“Kami menang perlawanan yang kami berhak menang,” kata jurulatih Napoli, Maurizio Sarri.

“Tampak seperti ada sumpahan dalam perlawanan. Statistik jelas menunjukkan kami adalah pilihan dan penamatnya memang logik.

“Saya gembira bagi pihak penyokong kerana jika tidak kerana mereka, kami tidak dapat menukar perlawanan ini.”

Napoli mendominasi babak pertama tetapi gagal mencari ruang kerana pemain Chievo berkampung di kawasan penalti sendiri. - REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 10:00 AM