SUBKHIDDIN (kiri) mahu FAM lahirkan pengadil berkualiti. FOTO/FAIL
SUBKHIDDIN (kiri) mahu FAM lahirkan pengadil berkualiti. FOTO/FAIL
Devinder Singh

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mengenal pasti 20 pengadil yang berpotensi untuk diserapkan menjadi pengadil profesional dalam masa terdekat.

Biarpun beberapa tahun lagi diperlukan untuk pegawai pertandingan di negara ini bekerja sepenuh masa, FAM bersiap sedia dalam menyediakan pengadil profesional.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Salleh berkata masih ada beberapa halangan yang perlu diatasi.

“Pertama sekali, kita mesti mempunyai produk yang tepat dan untuk melakukannya kita perlulah melahirkan kumpulan pengadil yang berkualiti datang daripada ranking kelas tiga,” kata Subkhiddin selepas mesyuarat bulanan jawatankuasa itu di Wisma FAM, di sini hari ini.

“Pegawai pembangunan pengadil negeri mesti mengenal pasti pengadil dengan kriteria tepat untuk menyertai projek khas FAM. Apa yang kami perlukan adalah dua atau tiga pengadil dari setiap negeri yang mampu bersaing dengan pengadil yang ada.”

Minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata penganjur Liga-M merancang untuk mewujudkan dana bagi membantu pengadil bertukar ke profesional.

Subkhiddin yang mengalu-alukan perancangan MFL itu berkata, adalah penting bagi meyakinkan pengadil untuk meninggalkan kerjaya mereka dalam sektor kerajaan atau swasta sekali gus bekerja sebagai pengadil sepenuh masa.

“Kami mempunyai senarai lebih kurang 20 pengadil yang akan ditemuduga bulan depan untuk melihat sama ada mereka bersedia untuk menjadi profesional,” kata Subkhiddin.

“Ada sebahagiannya mempunyai kerja dengan kerajaan dan mungkin pengadil itu boleh dipinjamkan kepada kita. Tetapi kami tidak tahu lagi apa yang akan berlaku.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 5:18 PM