AFIQ Afify akui walaupun tanpa pelumba Belanda laluan ke podium tidak nampak mudah. -Foto fail
AFIQ Afify akui walaupun tanpa pelumba Belanda laluan ke podium tidak nampak mudah. -Foto fail
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

TANPA pelumba Belanda yang menjadi pencabar mereka pada Kejohanan Trek Para Dunia di Rio de Janeiro baru-baru ini, ia langsung tidak menjanjikan laluan mudah buat Muhammad Afiq Afify Rizan dan jurumudi, Muhammad Khairul Adha Rasol apabila bersaing di Velodrom Anna Meares Stadium, hari ini.

Selain berdepan cabaran pelumba Great Britain yang mengungguli perlumbaan 1 km ujian masa itu, tuan rumah Australia pastinya akan berusaha menyekat gandingan terbabit untuk mencabar kedudukan podium.

“Kecuali Belanda yang menduduki tempat kedua di Rio, peserta lainnya juga bakal bertanding di sini dengan Britain menduduki tangga pertama dan ketiga menjadi pilihan utama,” kata pengurus pasukan, Ramlay Ibrahim.

“Boleh dikatakan ia bagaikan ulangan perlumbaan di Rio, namun biarpun tanpa pencabar dari Belanda, mereka masih perlu mengatasi pelumba Australia.”

Begitupun, beliau tetap yakin gandingan Afiq Afify dan Khairul Adha mampu mempamerkan pencapaian terbaik mereka apatah lagi dengan prestasi ditunjukkan kebelakangan ini.

Untuk rekod, mereka memenangi pingat emas di Sukan Para ASEAN 2017 dan Kejohanan Para Asia di Velodrom Nasional pada Februari lalu.

Pada kejohanan di Rio, mereka turut berjaya memecah rekod Asia dalam acara 1km ujian masa dengan catatan 1 minit 4.192 saat.

Selain acara 1km ujian masa, mereka turut bertanding dalam acara pecut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 4:42 PM