ADAM yakin mampu lebih menyerlah di Argentina. FOTO/AFP
ADAM yakin mampu lebih menyerlah di Argentina. FOTO/AFP
Sukhairi Thani


PELUMBA Moto3 negara, Adam Norrodin mahu melakar catatan masa sepusingan yang lebih pantas pada sesi kelayakan di Grand Prix (GP) Argentina, minggu ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu mengakui bergelut pada sesi kelayakan ketika pusingan pembuka tirai 2018 di GP Qatar pertengahan bulan lalu apabila sekadar menempah petak ke-17 dengan catatan masa sepusingan 2 minit 07.758 saat.

Bagaimanapun, Adam berjaya menamatkan perlumbaan di tangga ke-11 untuk meraih lima mata berharga yang dianggapnya motivasi terbaik menjelang aksi di Sirkit Termas de Rio Hondo.

“Saya agak menggemari (GP) Argentina apatah lagi selepas aksi di Qatar,” kata Adam. “Sudah pasti saya memperoleh motivasi bagi mendapatkan keputusan yang baik di Argentina nanti.

“Saya mahu lakukan catatan masa yang lebih baik pada sesi kelayakan di Qatar kerana saya tahu dalam perlumbaan saya dapat melakukan yang lebih baik daripada kelayakan. Namun pada sesi kelayakan itu, saya bergelut.

“Jadi di Argentina nanti, saya mahu memberi tumpuan untuk mencatat masa (lebih baik) pada sesi kelayakan dan memikirkan bagaimana untuk berada di kelompok depan.

“Saya masih dengan sasaran sebelum ini iaitu berada dalam kelompok 10 terbaik perlumbaan dan saya akan lakukan yang terbaik untuk mencapai sasaran berkenaan.”

Pada musim lalu, Adam, 19, menamatkan perlumbaan di Argentina di tangga ke-17 selepas memulakan saingan dari petak ke-21.

Namun, Adam pernah mencuri tumpuan di trek sepanjang 4.8 kilometer (km) itu apabila dia menunjukkan erti tidak pernah menyerah kalah pada penampilan pertamanya dalam kancah Moto3, dua tahun lalu.

Ketika itu, Adam yang sedang bersaing sengit untuk mencari penamat di podium terjatuh di selekoh terakhir perlumbaan sebelum menolak motosikal sehingga ke garisan penamat.

Dia menamatkan saingan di tangga ke-11 tatkala seorang lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi meraih kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 6:46 PM