ALAN PARDEW
ALAN PARDEW
Reuters

London: Alan Pardew menjadi pengurus kedua yang meninggalkan West Bromwich Albion musim ini apabila beliau sah melepaskan jawatannya selepas empat bulan menjadi pengendali pasukan terbabit.

West Brom yang tumbang 1-2 di tangan Burnley pada aksi di laman sendiri minggu lalu, tewas lapan perlawanan terakhir dan terperosok di tangga tercorot liga.

“West Bromwich Albion dan Alan Pardew bersetuju untuk membawa haluan masing-masing selepas perbincangan dilakukan,” jelas pasukan itu menerusi satu kenyataan.

Pada masa sama, pembantu jurulatih, John Carver turut sama mengikut jejak langkah Pardew.

“Pasukan mahu mengucapkan terima kasih kepada Alan dan John untuk usaha mereka dan selamat maju jaya pada masa akan datang.”

Jurulatih pasukan utama, Darren Moore akan mengambil alih skuad buat masa ini.

Pardew yang sebelum ini menjadi pengurus di West Ham United, Southampton, Newcastle United dan Crystal Palace dilantik mengendalikan West Brom selepas Tony Pulis dipecat, November lalu.

West Brom hanya memenangi tiga perlawanan dan tewas dalam 18 daripada 32 aksi musim ini.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 7:47 PM