KEVIN RAMALINGAM
KEVIN RAMALINGAM
Devinder Singh


LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) bercadang menubuhkan dana pelaburan untuk membantu pengadil di Malaysia menjadi profesional.

Walaupun sasaran untuk menjadikan ia sebagai kerjaya sepenuh masa masih jauh lagi, MFL mahu memulakan langkah awal bagi meningkatkan pengadilan, termasuk menubuhkan badan yang selari dengan Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) di England.

PGMOL ditubuhkan untuk menyediakan pegawai perlawanan kepada semua perlawanan Liga Perdana Inggeris, Liga Bola Sepak dan kejohanan di England di samping membangunkan kecemerlangan pengadilan di peringkat profesional.

Ketua Eksekutif MFL Kevin Ramalingam berkata pengadil-pengadil profesional akan mempunyai lebih masa untuk mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan tanpa diganggu oleh kerjaya sepenuh masa mereka.

“MFL akan menubuhkan dana pelaburan untuk membantu pengadil menjadi profesional dan menubuhkan persatuan seperti PGMOL di England,” kata Kevin.

“Persatuan berkenaan akan memastikan pengadil mendapat bimbingan, latihan dan sokongan yang mencukupi. Sekarang ini pengadil-pengadil tidak dibantu dalam menangani kritikan yang dilemparkan terhadap mereka.

“Apabila mereka mengadili perlawanan berikutnya, mereka belum sedia sepenuhnya dan akan terus melakukan kesilapan.”

Prestasi pengadil tempatan sering menjadi subjek perdebatan dengan kesilapan mereka menjadi tumpuan di media sosial.

Menurut Kevin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih bertanggungjawab melahirkan pengadil bola sepak walaupun masih terlalu awal untuk pegawai-pegawai perlawanan ini bergelar profesional.

“Pengadil-pengadil senior tidak mahu melepaskan kerjaya asal mereka jadi mereka tidak akan bergelar profesional. Fokus kami adalah kepada generasi pengadil muda yang belum mempunyai kerjaya lain.

“Mereka perlu digalakkan untuk menjadikan kerjaya pengadil sebagai sepenuh masa. FAM perlu membantu kami memilih pengadil yang layak menjadi pengadil profesional. Tetapi perjalanan masih jauh dan ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 5:42 PM