PEMAIN pasukan Hoki Anderson Thunderbolts (kanan) Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal beraksi  menentang pasukan Hoki MBPJ pada Perlawanan Liga Hoki Remaja Malaysia 2018 di Stadium Hoki KPM. - Foto Hafiz Sohaimi
PEMAIN pasukan Hoki Anderson Thunderbolts (kanan) Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal beraksi menentang pasukan Hoki MBPJ pada Perlawanan Liga Hoki Remaja Malaysia 2018 di Stadium Hoki KPM. - Foto Hafiz Sohaimi
Naqib Nor Said


JARINGAN hatrik Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal memastikan Anderson Thunderbolts membuka kempen Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2018 dengan kemenangan apabila membenam juara bertahan, MBPJ Tigers 4-1 di Stadium KPM, semalam.

Penyerang skuad Projek 2020 itu membuka jaringan seawal minit ketiga, sebelum menggandakan jaringannya pada minit ke-18 dan menebus kegagalan menyempurnakan pukulan strok di suku ketiga dengan jaringan kemenangan pada minit ke-59.

Malah, gol ketiga Anderson yang dijaringkan Muhd Aliff Ikhemal Zamri pada minit ke-55 juga terhasil menerusi umpanan menarik sebelah kiri dengan Muhammad Nur Asyraf menyumbat gol sagu hati buat MBPJ Tigers.

"Dia (Azrai) menunjukkan komitmen tinggi dan satu permainan baik dalam perlawanan hari ini, tetapi bagi saya ia belum mencapai tahap terbaiknya," kata pengendali Anderson, Mohd Nizam Mohd Hashim.

Kemenangan dalam aksi sulung itu meletakkan Anderson di kedudukan kelima liga, enam mata di belakang peneraju liga SSTMI Thunderbolts yang terus mengekalkan rekod kemenangan selepas berpesta gol membelasah AHP-SSP-Thunderbolts 5-0 dalam satu aksi sebelum itu.

Anderson selepas ini bagaimanapun akan menempuh jadual liga yang lebih padat susulan susunan yang menyaksikan mereka muncul satu-satunya pasukan yang tidak beraksi pada awal minggu pertama dan kedua liga yang bermula sejak 7 Mac lalu.

Justeru, Nizam percaya kemenangan dalam aksi pertama ini bakal menjadi tonik terbaik buat pasukannya menjelang pertemuan dengan pasukan pilihan SSTMI Thunderbolts pada Jumaat ini.

"Bagi saya kemenangan dalam aksi sulung adalah penting kerana ia menjadi sukar untuk setiap pasukan dan saya bersyukur kerana hari ini kita menang walaupun pemain tidak menampilkan aksi sebenar," katanya.

Sementara itu, SSTMI Thunderbolts mudah menjinakkan musuh utamanya, AHP-SSP Thunderbolts 5-0 di laman sendiri hasil ledakan hatrik Akhimullah Anuar Esook dan masing-masing satu jaringan oleh Shello Silverius dan Syarman Mat Tee.

____________________________________

KEPUTUSAN:

SSTMI T'bolts...5 /  AHP-SSP-T'bolts...0

MBPJ Tigers...1 /  Anderson T'bolts...4

Olak...1 /  SMKDBL-UniKL...5

SSBJ t'bolts...9 /  SSMS Resilient...2

MSNSSN Perlis...1 /  SSTMI...2

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 1:01 AM