STERLING mahu kecapi kejayaan bersama England. FOTO/AFP
STERLING mahu kecapi kejayaan bersama England. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Pemain sayap lincah Manchester City, Raheem Sterling berazam mengulangi prestasi cemerlangnya bersama kelab dapat diulangi ketika menyarung jersi England dalam misi menebus kehampaan di Piala Dunia Russia.

Sterling mengalami detik mengecewakan dalam penampilan kejohanan besar sebelum ini tetapi Piala Dunia di Russia peluang terbaik untuk dia kembali mempamerkan kebolehan sebenar.

Prestasi hambarnya menyumbang kepada kegagalan England pada Euro 2016 yang menyaksikan England diaibkan Iceland pada peringkat 16 pasukan terakhir.

Sterling seterusnya kerap gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama City sehingga tercetus spekulasi dia akan dijual oleh pengurus, Pep Guardiola.

Bagaimanapun pemain lincah berusia 23 tahun itu tidak menunggu lama untuk membuktikan kepada Guardiola dan pengkritiknya bahawa tanggapan mereka terhadapnya salah dan tekad membuktikan kemampuan sebenar.

Dia kembali merebut posisinya walaupun Guardiola membeli Bernardo Silva dan kini muncul watak utama di sebalik kejayaan hebat City dalam memburu trofi Liga Perdana Inggeris.

“Ketika tertekan atau dalam keraguan, ketika itulah saya kembali dalam keadaan terbaik,” kata Sterling kepada wartawan.

“Perkara sama berlaku pada musim panas ini. Kelab beli Bernado dan pada masa sama kami telah pun ada Leroy (Sane).

“Saya telah lupakan kekecewaan Euro 2016. Saya akui prestasi ketika itu amat buruk dan kini saya yakin kembali bangkit,” katanya.

Sterling yang sudah pun menjaringkan 20 gol bersama City musim ini berharap ketajaman penyudahnya dan prestasi konsisten mampu mengakhiri kemarau kejayaan England di kejohanan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 11:50 AM