LEONG JUN HAO
LEONG JUN HAO
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN badminton negara yang bakal beraksi pada Cabaran Antarabangsa Vietnam minggu ini, mengakui persiapan mereka tidak terjejas susulan keputusan penganjur menunda kejohanan berikutan masih lagi berkabung susulan kematian bekas Perdana Menteri, Phan Van Khai.

Mengesahkan perkembangan itu, jurulatih perseorangan lelaki negara, Sairul Amar Ayob berkata kejohanan itu sepatutnya bermula hari ini iaitu sesi kelayakan dan pusingan pertama perseorangan lelaki, sebelum ditunda kepada Khamis.

“Bagi saya ia tidak memberi sebarang gangguan buat pemain berikutan pertukaran tarikh kejohanan ini. Semua pemain sudah bersedia dan paling penting ialah mereka kekal fokus,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sairul berkata semua pemain dan pasukan mengalami nasib yang sama, sekali gus tidak ada yang mendapat sebarang kelebihan mengenai perubahan jadual berkenaan.

Perkara yang sama turut disuarakan naib juara Masters Thailand, Leong Jun Hao yang sepatutnya turun ke gelanggang hari ini menentang Noppanai Singrueang dari Thailand.

“Bagi saya perubahan jadual ini tidak mengganggu persiapan saya kerana kami sudah tiba di sini untuk menyesuaikan diri. Lagi pun kami sudah mempersiapkan diri sebelum datang ke sini,” kata juara remaja Asia tahun lalu itu.

Selain Jun Hao, pemain perseorangan lelaki lain yang mengambil bahagian di kejohanan ini ialah Lim Chi Wing, Tan Jia Wei, Cheam June Wei, Chong Yee Han, Soong Joo Ven dan Soo Teck Zhi.

Berdasarkan jadual terbaru semua perlawanan kelayakan dan pusingan pertama perseorangan lelaki serta beregu campuran akan berlangsung Khamis ini.

Pada hari berikutnya pula bakal diadakan aksi pusingan kedua dan ketiga perseorangan lelaki, pusingan kedua perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran.

Aksi suku akhir dan separuh akhir pula berlangsung hari Sabtu sebelum diikuti saingan akhir pada hari Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 10:02 PM