V SHEM dan Wee Kiong mampu pertahan pingat emas Sukan Komanwel. - FOTO FAIL
V SHEM dan Wee Kiong mampu pertahan pingat emas Sukan Komanwel. - FOTO FAIL
Helmi Talkah


BEREGU lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tetap yakin mampu mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel yang dimenangi empat tahun lalu apabila edisi 2018 berlangsung di Gold Coast, Australia, bulan depan biarpun mereka masih gagal menamatkan kemarau gelaran juara selepas kembali digandingkan awal tahun ini.

Walaupun mereka gagal meraih kejayaan dalam dua kejohanan di Eropah - Terbuka Jerman dan Seluruh England - namun itu tidak akan menjejaskan fokus mereka sebaliknya dianggap sebagai motivasi untuk melakukan yang lebih baik.

Selepas terkandas di separuh akhir Terbuka Jerman, minggu lalu, V Shem-Wee Kiong sekali lagi terpaksa akur apabila ditunjukkan jalan keluar pada suku akhir Seluruh England, awal pagi tadi.

Mereka tewas kepada pasangan berpengalaman dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen 20-22, 11-21.

“Mereka (beregu Denmark) bermain sangat baik hari ini (awal pagi tadi). Di set kedua kami banyak melakukan kesilapan mudah dan tidak dapat mengelak serangan daripada mereka.

“Apa pun, kekalahan ini tidak akan mematahkan semangat kami sebaliknya kami lebih bersemangat untuk melakar kejayaan dalam kejohanan selepas ini terutama Sukan Komanwel. Kami yakin kami mampu mempertahankan emas yang dimenangi empat tahun lalu,” kata V Shem ketika dihubungi di Birmingham.

Empat tahun lalu di Glasgow, Scotland, V Shem-Wee Kiong berjaya memenangi emas acara beregu lelaki selain membantu Malaysia meraih emas berpasukan campuran.

Kali terakhir V Shem-Wee Kiong yang dipisahkan selama empat bulan susulan kemerosotan prestasi mereka sebelum digandingkan semula Januari lalu meraih gelaran juara adalah pada saingan Siri Super Akhir 2016 di Dubai - tiga bulan selepas memenangi pingat perak Olimpik Rio 2016.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 6:07 PM