ANTONIO CONTE
ANTONIO CONTE
Agensi

LONDON: Antonio Conte menegaskan Chelsea akan ‘bertarung sehingga penamat’ untuk menjulang trofi Piala FA selain layak ke kancah Liga Juara-Juara musim depan.

Perjalanan juara Liga Perdana Inggeris itu dalam saingan elit Eropah itu berakhir pada peringkat 16 terbaik musim ini selepas tewas secara agregat 1-4 kepada Barcelona, kelmarin serta tersekat di separuh akhir Piala Liga.

The Blues yang menghuni tangga kelima liga dan ketinggalan empat mata di belakang Liverpool di tangga keempat dijadual bertemu Leicester City pada aksi suku akhir Piala FA, awal pagi Isnin dan Conte menegaskan skuad kendaliannya perlu mencapai kedua-dua sasaran berkenaan.

“Saya fikir semua trofi penting untuk kami,” kata pengendali dari Itali itu. “Kami memulakan musim ini untuk cuba bertarung sehingga penghujung dalam semua kejohanan.

“Dalam saingan Piala Liga, kami mara ke separuh akhir dan Liga Juara-Juara di peringkat 16 terakhir. Kini suku akhir Piala FA. Jika kami menang, kami boleh bermain satu lagi aksi separuh akhir di Wembley.

“Kami akan melakukan yang terbaik dalam semua kejohanan. Itu perlu menjadi sasaran kami.”

Ketika ditanya sama ada tumpuan lebih terarah untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik liga, Conte berkata: “Saya fikir kami perlu cuba melakukan kedua-duanya.

“Cuba untuk pergi ke peringkat seterusnya dan melangkah ke separuh akhir Piala FA dan ia bukannya mudah. Leicester City pasukan yang baik.

“Malah, kami bergelut dalam aksi terakhir bertemu mereka di laman sendiri. Selepas itu, kami akan cuba untuk melakukan yang terbaik dalam aksi liga untuk mendapatkan tempat di Liga Juara-Juara. Ia bukan mudah.”

Sementara itu, Conte juga tidak berminat untuk bercakap mengenai ketiadaan tonggak penyerangnya, Alvaro Morata dalam skuad Sepanyol bagi aksi persahabatan menjelang Piala Dunia di Russia.

“Soalan ini untuk jurulatih kebangsaan dan bukannya saya,” kata Conte dengan pertahanannya, Gary Cahill turut tersisih daripada senarai skuad England.

“Kebimbangan saya adalah untuk mempunyai pemain yang berada dalam prestasi terbaik untuk Chelsea. Mungkin dia (Morata) akan menjaringkan gol ketika menentang Leicester,” kata Conte selepas Morata gagal menjaringkan gol sepanjang 2018.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 12:07 PM