MARIA akhiri kerjasama empat tahun bersama Groeneveld selepas tersingkir pada pusingan pertama WTA Indian Wells. -Foto EPA
MARIA akhiri kerjasama empat tahun bersama Groeneveld selepas tersingkir pada pusingan pertama WTA Indian Wells. -Foto EPA
AFP

INDIAN WELLS: Juara Grand Slam lima kali  Maria Sharapova memutuskan untuk berpisah dengan jurulatihnya Sven Groeneveld selepas tersingkir seawal pusingan pertama kejohanan WTA Indian Wells.

Selepas menjalin kerjasama selama empat tahun, keputusan berpisah dibuat atas persetujuan bersama, kata Maria hari ini.

“Selepas empat tahun yang penuh kejayaan dan cabaran bersama-sama, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Sven atas kesetiaan, etika kerjanya dan paling penting persahabatan yang terjalin yang akan melangkaui tugas bersama,” kata Maria dalam satu kenyataan media.

“Biarpun kami bersetuju untuk berpisah ketika ini, saya bernasib baik memiliki beliau sebagai ketua pasukan.”

Bekas pemain nombor satu dunia yang dua kali muncul juara di California, tewas kepada pemain nombor satu Jepun Naomi Osaka, kelmarin dalam straight set, 6-4, 6-4.

Maria adalah antara tarikan utama kejohanan itu selepas tidak beraksi pada dua edisi sebelumnya.

“Maria adalah antara pemain yang profesional dan paling bekerja keras pernah saya temui. Kekuatan dan semangat melawannya akan terus menjadi perhatian dan saya benar-benar menghormatinya baik sebagai pemain dan insan,” kata  Groeneveld dari Belanda.

Bagi Maria, kekalahan kepada Naomi, 20, menjadi peringatan bermakna buatnya untuk kembali menilai tahap permainnya selepas kembali beraksi daripada penggantungan 15 bulan akibat dadah.

Ia kekalahan kedua pada pusingan pertama berturut-turut selepas menarik diri daripada kejohanan di Dubai berikutan kecederaan lengan.

Ia adalah penampilan kedua Grand Slam Maria tahun ini, dan dia mara ke pusingan ketiga Terbuka Australia sebelum tewas kepada Angelique Kerber.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 1:57 PM