RONALDO (kanan) meraikan gol bersama Benzema (dua dari kanan). FOTO/AFP
RONALDO (kanan) meraikan gol bersama Benzema (dua dari kanan). FOTO/AFP
Reuters

MADRID: Jurulatih Real Madrid Zinedine Zidane memuji Cristiano Ronaldo kerana mempamerkan semangat setiakawan dengan Karim Benzema selepas bintang Portugal itu membenarkan pemain Perancis itu mengambil sepakan penalti sewaktu menang 4-0 ke atas Alaves dan meminta peminat supaya memberikan penghormatan kepadanya.

Benzema menjadi antara ‘kambing hitam’ di sebalik kempen Real yang tidak konsisten musim ini dan berdepan kemarahan penyokong setia di Santiago Bernabeu kerana kegagalannya di depan gawang.

Benzema membantu jaringan awal Ronaldo ke atas Alaves menerusi sepakan dengan tumitnya dan perkara pertama dilakukan penjaring terbanyak sepanjang zaman Real itu selepas menjaringkan gol adalah menunjuk ke arah Benzema, meminta penyokong memberi lebih penghormatan kepadanya.

Ronaldo menjaringkan gol ketiga Real selepas Gareth Bale menjaringkan gol kedua, juga dicipta menerusi hantaran Benzema dan pemain Portugal itu berpeluang meledak hatrik apabila diberikan penalti lewat permainan.

Sebaliknya, Ronaldo memberikan peluang kepada Benzema yang berjaya menyempurnakan jaringan.

“Saya amat gembira dengan tindakan Ronaldo. Ini adalah perlawanan berpasukan dan tindakan yang hebat. Karim bermain dengan baik dan berhak menjaringkan gol kerana banyak memberi sumbangan terhadap permainan,” kata Zidane.

“Benzema berdepan tekanan hebat tetapi dia berjaya menanganinya dan saya gembira dengan cara dia bermain dan menjaringkan gol.

“Anda sentiasa boleh bergantung kepada Benzema dan dalam perlawanan hebat, dia sentiasa membuktikan kehebatannya sebagai pemain.”

Benzema menamatkan kemarau jaringan liga tiga bulan dengan merobek gawang Real Betis hujung minggu lalu dan biarpun dia mensia-siakan beberapa peluang, dia adalah antara pemain terbaik Real dalam lima kemenangan berturut-turut skuad kendalian Zidane.

“Cristiano menunjukkan semangat setiakawan yang hebat dengan Karim yang berhak melakukan jaringan. Saya gembira dengan Karim kerana dia pemain yang luar biasa,” kata pemain sayap Real Lucas Vazquez.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 11:52 AM