CIRO IMMOBILE
CIRO IMMOBILE
AFP

ROME: Ciro Immobile meledak dua kali dalam tempoh lima minit untuk menamatkan rentetan tiga kali kekalahan berturut-turut Lazio dan membawa skuad dari Rome itu ke kedudukan keempat Serie A dengan kemenangan 2-0 mengatasi Verona awal pagi tadi.

Immobile mendapat gol pertama selepas 55 minit di Stadio Olimpico dan menggandakannya lima minit kemudian seterusnya mengumpul 22 gol dalam Serie A musim ini.

Lazio mengatasi Inter Milan yang tersingkir dari Liga Juara-Juara apabila berkedudukan kelima selepas tewas 2-0 kepada Genoa kelmarin.

Verona kekal di kedudukan kedua dari bawah selepas mengalami kekalahan ketujuh dari lapan perlawanan.

Napoli menyamai Juventus dengan kemenangan 1-0 mengatasi SPAL kelmarin untuk terus kekal di kedudukan teratas di Itali selepas pertembungan tetangga Turin yang turut dimenangi juara bertahan itu dengan jaringan sama.

Dua pasukan teratas Serie A itu kembali selepas kekalahan dalam saingan Eropah untuk mencipta kemenangan kesembilan dalam liga.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 7:36 AM