NEYMAR antara pemain termahal dimiliki PSG.
NEYMAR antara pemain termahal dimiliki PSG.
AFP

Madrid: Paris Saint-Germain memecahkan rekod yuran perpindahan tahun lalu apabila menandatangani Neymar dari Barcelona, namun kelab Perancis yang dimiliki jutawan Qatar itu masih belum dapat menandingi kekuatan kewangan Real Madrid.

Real selaku juara bertahan Eropah mendapat pulangan hampir 200 juta euro (RM967 juta) melebihi PSG tahun lalu, menurut Deloitte.

Kelab gergasi Sepanyol itu akan melayan kunjungan skuad kendalian Unai Emery pada perlawanan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Dalam dunia bola sepak, Real unggul dengan muncul juara Eropah sebanyak 12 kali, tetapi akhir-akhir ini turut menguasai aspek kewangan kelab Eropah.

Kekayaan Real dicetus oleh strategi perpindahan presidennya, Florentino Perez yang akan membayar apa saja untuk mendapatkan bintang terhebat dunia.

“Jika Real mempunyai pemain terbaik dunia di setiap posisi, pulangan tidak akan menjadi masalah,” kata Perez pada 2016.

Real memecahkan rekod yuran perpindahan sebanyak lima kali antara 2000 hingga 2013 menerusi pembelian Luis Figo, Zinedine Zidane, Kaka, Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale.

Satu lagi aset penting kelab itu adalah Stadium Santiago Bernabeu, yang mana Perez mahu menambah bumbung, kawasan menyambut tetamu baru, pusat beli belah, malah sebuah hotel yang dianggarkan menelan belanja 400 juta euro (RM1.9 bilion).

Bagaimanapun PSG berpeluang mengatasi kehebatan kewangan Real itu menerusi kemenangan di tengah padang sekali gus memburu tempat ke final buat julung kali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 8:36 AM