PEMAIN West Ham Javier Hernandez melakukan percubaan. Foto Reuters
PEMAIN West Ham Javier Hernandez melakukan percubaan. Foto Reuters
Reuters

LONDON: Pasukan yang dilanda masalah kecederaan, West Ham United bangkit seri 1-1 menentang Crystal Palace dalam aksi sengit di Stadium London, awal pagi tadi.

Dengan ketiadaan sepuluh pemain utama termasuk gandingan berbisa, Marko Arnautovic dan Manuel Lanzini, situasi tampak sukar buat pengurus West Ham, David Moyes apabila Palace mendahului hasil jaringan Christian Benteke selepas mendapat hantaran Andros Townsend pada minit ke-23 untuk gol keduanya dalam liga musim ini.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah bertindak balas dan dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil, Neil Swarbrick selepas bekas pertahanan Hammers, James Tomkins mengasari lawan. Kapten West Ham, Mark Noble tenang menjaringkan gol dua minit sebelum rehat untuk gol ke-50nya bersama West Ham.

Memasuki separuh masa kedua, West Ham menggandakan asakan.

Pada minit ke-50, Javier Hernandez memperolehi peluang terbaik mendahului lawan melalui percubaan jarak dekat tetapi ditampan penjaga gol Palace, Wayne Hennessey.

Moyes berkata, dia puas hati dengan persembahan pasukannya terutama pemain tengah, Joao Mario yang baru menyertai West Ham secara pinjaman dari Inter Milan minggu lalu.

“Kami pada mulanya mahu mengeluarkannya selepas 60 atau 70 minit permainan tetapi dia seperti tidak mahu dikeluarkan. Dia seperti enjin diesel. Tangkas menguasai lawan dan seperti pemain terbaik malam ini,” kata Moyes.

Keputusan seri itu bermakna West Ham mengatasi Watford di tangga ke -10 dan Palace kekal di tangga ke-12.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 12:26 PM