DOMINIC (kanan) terkejut ketika pasukan negara bangkit dengan seri kepada Jordan dan menewaskan Arab Saudi. FOTO/FAIL
DOMINIC (kanan) terkejut ketika pasukan negara bangkit dengan seri kepada Jordan dan menewaskan Arab Saudi. FOTO/FAIL
Sukhairi Thani


KEPERCAYAAN sepenuhnya yang diberikan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee menjadi kunci utama buat pemain Bawah 23 negara (B-23) bangkit selepas dibedil Iraq 4-1 pada perlawanan pertama Kejohanan B-23 AFC di Kunshan China.

Skuad negara kemudiannya seakan mengibar panji semangat ‘Malaysia Boleh’ dengan mengikat Jordan 1-1 sebelum menewaskan Arab Saudi 1-0 sekali gus menamatkan saingan peringkat Kumpulan C selaku naib juara.

Penamat itu melayakkan skuad bimbingan Kim Swee melangkah ke suku akhir namun Korea Selatan menutup ruang kemaraan seterusnya apabila Malaysia tewas tipis 1-2 di tangan finalis 2016 berkenaan.

“Dalam saingan AFC B-23, pasukan yang bermain di sana berada satu tahap di atas jadi perlawanan pertama, kami agak terkejut tetapi kami dapat lakukan dengan baik ketika bertemu Jordan dan Arab Saudi.

“Jurulatih sentiasa percaya dengan kami dan sering memberitahu pasukan yang kami tidak mempunyai perbezaan dengan pasukan lain di sana.

“Ini menjadikan kami yakin untuk bersaing dengan pasukan lain dan kami membuktikan yang kami tidak terlalu jauh daripada mereka,” kata pemain berusia 20 tahun, Dominic Tan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dari Shanghai malam tadi.

Pasukan negara tewas 1-2 selepas Seung-Gyu Han meledak gol kemenangan Korea pada lewat minit ke-85 permainan.

“Pasukan mereka jaringkan gol pada minit-minit terakhir tapi inilah bola sepak, kadang-kadang menang dan kadang-kadang kalah. “Untuk saya, kami layak ke suku akhir dan itu adalah sasaran kami. Agak malang juga, tak dapat ke separuh akhir tetapi kami sudah melakukan yang terbaik,” kata Dominic.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 6:13 PM