SHAARAWY (kiri) jaring gol Roma.  FOTO/REUTERS
SHAARAWY (kiri) jaring gol Roma. FOTO/REUTERS
AFP

MILAN: Inter Milan terus ketinggalan dalam saingan memburu kejuaraan Serie A selepas keputusan seri 1-1 dengan Roma meletakkan mereka 11 mata di belakang pendahulu Napoli.

Matias Vecino menyamakan kedudukan menerusi tandukan pada saat akhir selepas Stephan El Shaarawy memanfaatkan kepincangan pertahanan lawan untuk menyambut sepakan jauh penjaga gol Alisson pada minit ke-32 untuk membuka jaringan.

Pemain Uruguay Vecino kemudiannya menyambut hantaran Marcelo Brozovic untuk mengatasi Alisson yang tampil cemerlang apabila berjaya menyelamatkan dua percubaan Mauro Icardi dan terus meletakkan skuad Luciano Spalletti dalam kelompok empat teratas, berkongsi 43 mata dengan Lazio di tangga ketiga dan tiga mata di depan Roma.

VECINO (tengah) menewaskan menjaga gol Roma.  FOTO/REUTERS
VECINO (tengah) menewaskan menjaga gol Roma. FOTO/REUTERS

Bagaimanapun mereka gagal mencatat kemenangan dalam enam perlawanan dan tidak lagi dilihat sebagai pencabar kejuaraan ketika Roma yang kekal di tangga kelima dengan 40 mata, terus ketinggalan apabila hanya mengutip 10 mata daripada 24 keseluruhan sejak menewaskan Lazio pada pertengahan November.

Skuad Eusebio Di Francesco kini ketinggalan 12 mata berbanding Napoli, yang terus melebarkan penguasaan mereka di puncak liga kepada empat mata selepas Dries Mertens mengakhiri kemarau jaringan untuk memberikan kemenangan 1-0 ke atas Atalanta.

Jaringan pemain Belgium Mertens pada minit ke-65 menamatkan kemarau jaringan yang bermula sejak 29 Oktober lalu apabila berjaya memperdayakan pertahanan dan menjaringkan gol ke-11 musim ini mengatasi penjaga gol Atalanta Etrit Berisha.

“Dia (Mertens) mempamerkan peningkatan biarpun tidak menjaringkan gol, jadi kemarau jaringan itu sesuatu yang relatif. Jelas sekali dia akan kembali menjaringkan gol satu hari nanti,” kata jurulatih Napoli Maurizio Sarri.

Atalanta jatuh ke tangga kelapan susulan kekalahan itu dan kemenangan AC Milan ke atas Cagliari 2-1, menerusi dua jaringan Franck Kessie yang membantu pasukannya bangkit daripada ketinggalan satu gol di Sardinia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 9:46 AM