JUARA kejohanan utama sebanyak 19 kali itu berkata perjanjian berhubung nilai hadiah yang ditawarkan ketika ini memang menarik tetapi ia perlu dikaji semua. Foto AFP
JUARA kejohanan utama sebanyak 19 kali itu berkata perjanjian berhubung nilai hadiah yang ditawarkan ketika ini memang menarik tetapi ia perlu dikaji semua. Foto AFP
AFP

MELBOURNE: Roger Federer berkata, sudah tiba masanya buat semua pemain profesional menuntut hadiah wang tunai lebih lumayan di empat pertandingan Grand Slam setiap tahun.

Juara kejohanan utama sebanyak 19 kali itu berkata, perjanjian berhubung nilai hadiah yang ditawarkan ketika ini memang menarik tetapi ia perlu dikaji semua dan merasakan sudah tiba masanya untuk pemain menuntut hadiah lebih baik.

Minggu ini, presiden majlis pemain ATP, Novak Djokovic berkata, semua pihak sedang melakukan yang terbaik dalam usaha menaikkan jumlah hadiah wang tunai kepada pemain.

Federer tampil menyokong tindakan Djokovic yang menuntut supaya pemenang Grand Slam diberikan hadiah wang tunai lebih besar.

“Kami ketika ini terikat dengan perjanjian yang agak baik dan ia menggembirakan Grand Slam serta pemain. Tetapi ia sudah boleh dikaji semula,” katanya.

“Semua pemain perlu bersatu dalam usaha menuntut hadiah lebih besar. Grand Slam tahu hakikat ini dan mereka akan hanya bertindak balas apabila semua pemain bersatu berbuat demikian.”

Pengarah pertandingan Terbuka Australia, Craig Tiley dilaporkan sudah mula menggariskan rancangan untuk menaikkan hadiah wang tunai di kejohanan Grand Slam pembuka tirai itu.

Juara perseorangan tahun ini akan memperoleh AS$4 juta (RM15.7 juta) tetapi pemain yang tewas di pusingan pertama akan hanya menerima AS$60,000 (RM62,969).

Federer berkata, usaha untuk menuntut hadiah lebih besar itu bagaimanapun bukan sesuatu yang boleh direalisasikan dalam tempoh terdekat ini.

“Kami tahu bahawa ia tidak akan berlaku dalam tempoh semalaman saja,” katanya.

“Kami harap mereka (penganjur Slam) sedar dan menghargai kami. Kami kenal mereka dan kami mempunyai hubungan baik dengan mereka. Cuma ia akan menjadi satu cerita yang berterusan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 2:18 PM