Reuters

LONDON: Rundingan pemilik Newcastle United, Mike Ashley (gambar) dengan firma Amanda Staveley, PCP Capital Partners berakhir dengan tiada perkembangan sejak membuat tawaran pada November lalu, menurut sumber terdekat Ashley, semalam.

Ashley mahu menjual kelab Liga Perdana Inggeris itu Oktober lalu dan PCP, firma pelaburan yang dikendalikan ahli perniagaan wanita Britain, Amanda, melakukan bidaan £250 juta (RM1.36 bilion).

“Cubaan untuk mengikat perjanjian dengan Amanda Staveley dan PCP ternyata meletihkan, mengecewakan dan jelas membazir masa,” kata sumber terdekat Ashley kepada Sky Sports News.

“Kami patut memberitahu peminat bahawa tiada sebarang perjanjian dicapai atau masih berunding dengan Amanda Staveley dan PCP.”

Bagaimanapun, seorang sumber dalaman PCP memberitahu tawaran itu masih dibincangkan dan bidaan adalah bayaran pendahuluan £250 juta.

Sumber itu menyatakan Ashley mahukan £350 juta (RM1.9 bilion) namun tiada sebarang komunikasi daripada pemilik Newcastle itu merumuskan rundingan itu sudah berakhir dan mereka hanya mendapat tahu rundingan itu berakhir menerusi laporan Sky.

PCP Capital, yang bertindak buat pelabur di Timur Tengah dan China, dikenali kerana menjadi orang tengah antara Barclays dan sekelompok pelabur Abu Dhabi ketika krisis kewangan pada 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 10:34 AM