PESERTA bersedia sebelum sesi pemilihan Impian ke Moto GP bersama Zulfahmi Khairuddin di Litar Go- Kart Sepang. Foto SAIRIEN NAFIS
PESERTA bersedia sebelum sesi pemilihan Impian ke Moto GP bersama Zulfahmi Khairuddin di Litar Go- Kart Sepang. Foto SAIRIEN NAFIS
Firdaus Hashim


Bekas pelumba Moto3 dan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Zulfahmi Khairuddin mengakui teruja dipilih sebagai mentor pertama dalam program ‘Impian ke MotoGP’ yang dianjurkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) membabitkan 300 peserta muda di seluruh negara.

Jelas Zulfahmi, pengalaman hampir lapan tahun bersaing di beberapa kejohanan dunia akan dikongsi sebaiknya bersama dua pelumba terpilih daripada uji bakat itu.

“Sudah tentu pengalaman yang ada saya akan curahkan bersama mereka terutamanya dua pelumba yang terpilih nanti.

“Dari situ, mereka berdua akan mengikut saya bersaing di perlumbaan ARRC (Kejuaraan Motosikal Asia) dan membimbing mereka di Kejuaraan Remaja Dunia CEV di Eropah bulan Mac nanti,” katanya yang akan membuat penampilan di ARRC musim ini bersama pasukan ZK Racing kawasaki.

Program uji bakat yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini itu bakal mengenal pasti pelumba berpotensi untuk diangkat menjadi pelumba MotoGP di bawah kendalian Zulfahmi dan pihak SIC.

Pelumba bertuah berkenaan akan menjalani banyak ujian saringan selama lebih sebulan untuk berlumba di CEV dan ARRC.

“Program realiti ini perlu untuk mencari pelumba pelapis berbakat dan berpotensi untuk bersaing di CEV, Moto3 dan, Moto2 dan seterusnya MotoGP suatu hari nanti,” katanya.

Antara pencapaian terbaik Zulfahmi selama bergelar pelumba utama negara, dia pernah menamatkan saingan di tempat ketujuh keseluruhan dalam perlumbaan Moto3 pada 2012 ketika mewakili pasukan AirAsia SIC-Ajo itu.

Malah, dalam musim itu juga menyaksikannya meraih petak pertama pada pusingan di Sepang serta menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Anak jati Banting itu sekali lagi meraih pencapaian membanggakan dengan menaiki podium kedua ketika beraksi di WSBK pada pusingan di Sepang tahun lalu.

Tamat...

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 6:28 PM