MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak Mohd Fitri Saari selepas perlawanan Piala Sumbangsih  di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Batu Buruk. Foto GHAZALI KORI
MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak Mohd Fitri Saari selepas perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Batu Buruk. Foto GHAZALI KORI
Faizul Azlan Razak


KEKECEWAAN gagal menjulang Piala Sumbangsih sedikit terubat buat kapten Pasukan Hoki Terengganu (THT), Mohd Fitri Saari apabila menerima sumbangan RM10,000 untuk kos pembiayaan rawatan anak sulungnya, Muhammad Adam Zafran, 6 bulan.

Sumbangan daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) itu diserahkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman sambil disaksikan Timbalan Presiden MHC, George Koshy selepas perlawanan, petang semalam.

“Saya bersyukur dan berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan MHC ini kerana ia sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung sebelum ini di mana saya mengeluarkan duit sendiri.

“Sebelum ini saya mengeluarkan duit sendiri untuk segala kos rawatan anak dan sehingga kini sudah mengeluarkan lebih RM20,000,” katanya.

Oktober tahun lalu, Fitri yang menyertai skuad negara di Kejohanan Hoki Piala Asia di Dhaka, India terpaksa pulang ke tanah air selepas Muhammad Adam berada dalam keadaan kritikal.

Tonggak tengah kebangsaan itu berkata, anaknya juga sudah boleh keluar hospital, semalam selepas menerima rawatan selama empat bulan di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) di Hospital Serdang.

Pemain berusia 25 tahun yang juga adik kepada penyerang sensasi THT dan kebangsaan, Faizal Saari berkata, walaupun Muhammad Adam sudah dibenarkan keluar hospital, dia tetap bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

“Muhammad Adam ialah bayi pramatang selepas lahir tidak cukup bulan bersama adik kembarnya, Muhammad Yusuf Zafran.

“Doktor memaklumkan anak perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan tidak pasti sama ada dalam tempoh enam bulan, setahun atau dua tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 5:27 PM