KHAIRUL Idham Pawi (kiri) antara pelumba tempatan yang beraksi dalam MotoGP.
KHAIRUL Idham Pawi (kiri) antara pelumba tempatan yang beraksi dalam MotoGP.
Sukhairi Thani


PROGRAM Impian ke MotoGP dianjurkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi mencungkil bakat baharu sukan permotoran dua roda, menerima sambutan luar biasa apabila hampir 300 permohonan diterima selepas pendaftaran ditutup 31 Disember lalu.

Mula dilancarkan pada 18 Disember, program yang akan menyenarai pendek lima pelumba terbaik untuk beraksi di pentas antarabangsa itu menunjukkan tanda positif daripada peringkat akar umbi.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, dia gembira dengan minat ditunjukkan terhadap program berkenaan berdasarkan angka diterima.

“Saya teruja dengan minat ditunjukkan untuk program ini di mana sudah menghampiri 300 permohonan,” kata Razlan dalam satu kenyataan.

“Angka ini menunjukkan kredibiliti kami dalam usaha mengasah bakat daripada akar umbi untuk menjadi pelumba di kejuaraan dunia.”

Menerusi program mencari pelumba antara usia 13 hingga 15 tahun itu, mereka yang terpilih akan diuji dan disaring sebelum sekali lagi melalui proses sama pada 13 hingga 14 Januari ini di trek go kart SIC.

RAZLAN gembira dengan kehadiran hampir 300 permohonan.
RAZLAN gembira dengan kehadiran hampir 300 permohonan.

Di sana, lima calon terbaik akan menjalani beberapa siri ujian menggunakan jentera 250cc dan Honda NSF250RR dan sesi ujian serta pemilihan berkenaan dilakukan bekas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin dan bekas naib juara Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Ahmad Zamani Baharudin.

Sebaik saja pemilihan, dua pelumba terbaik - daripada pasukan elit remaja - akan beraksi sama ada di Kejuaraan Motosikal Sepanyol (CEV) ataupun Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia dijadual membuka tirainya di Estoril, Portugal, Mac ini.

Di antara kejuaraan CEV itu, pasukan elit remaja itu juga mempunyai pilihan untuk beraksi di Kejuaraan Superbike Malaysia dan juga ARRC.

Tiga lagi baki pelumba bakal menyertai Kejuaraan Cub Prix dalam kelas Wira dan Piala KTM RC390 Asia sebelum diberi lampu hijau beraksi ke pentas antarabangsa.

“Saya gembira dapat berkongsi ilmu dengan pelumba muda. Selepas beberapa tahun berlumba di peringkat antarabangsa, saya rasa mempunyai bekalan cukup untuk dicurahkan kepada generasi muda dan melihat sukan permotoran negara melonjak ke peringkat yang lebih baik lagi,” kata Zulfahmi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 8:35 PM