ZIDANE (kanan) mengaku bertanggungjawab di atas kekalahan . FOTO/AFP
ZIDANE (kanan) mengaku bertanggungjawab di atas kekalahan . FOTO/AFP
AFP

MADRID: Zinedine Zidane mengaku bertanggungjawab di atas kekalahan 0-3 Real Madrid pada pertemuan El Clasico di sini, semalam yang menyaksikan penyandang juara itu kini ketinggalan 14 mata di belakang Barcelona pada saingan La Liga.

Bagaimanapun, pengendali dari Perancis itu menegaskan, skuad bimbingannya akan kembali lebih gagah lagi selepas cuti tahun baru sekali gus enggan melepaskan kejuaraan liga kepada seterunya itu.

“Kami hilang keyakinan kerana ia satu kekalahan yang amat perit,” kata Zidane.

PEMAIN Rela hampa selepas tewas kepada Barca. FOTO/AFP
PEMAIN Rela hampa selepas tewas kepada Barca. FOTO/AFP

“Walau apa pun yang berlaku, Real sama sekali tidak akan berputus asa. Ia adalah tempoh yang sukar kerana kami tewas dengan tiga gol dan inilah bola sepak,” katanya selepas perlawanan.

Kekalahan itu menyaksikan Real kekal menduduki tangga keempat liga dengan Barcelona mempunyai kelebihan sembilan mata berbanding pencabar terdekat, Atletico Madrid.

Zidane melakukan keputusan mengejut apabila meletakkan Mateo Kovacic dalam kesebelasan utama buat kali pertama di saingan La Liga musim ini untuk menghalang kelincahan Lionel Messi selepas pemain antarabangsa Croatia itu mempamer aksi cemerlang ketika Real membenam Barcelona menerusi agregat 5-1 di saingan Piala Super Sepanyol, Ogos lalu.

PENYERANG Barca, Lionel Messi (kiri) melepaskan diri daripada pertahanan Real. FOTO/AFP
PENYERANG Barca, Lionel Messi (kiri) melepaskan diri daripada pertahanan Real. FOTO/AFP

Bagaimanapun selepas Real terlepas beberapa peluang terbaik di babak pertama, Kovacic gagal menyekat Messi yang menyaksikan bintang Argentina itu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti minit ke-64 selepas Luiz Suarez membuka jaringan m-54.

Aleix Vidal melengkapkan kemenangan Barcelona pada masa kecederaan.

“Saya tahu ramai yang akan mengkritik saya tetapi inilah bola sepak. Ia sama sekali tidak akan mengubah apa yang saya fikirkan dan ingin lakukan.

“Saya seorang jurulatih dan akan teruskan tugas selagi berada berada di sini,” kata Zidane.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 3:24 PM