MESSI jaring gol kedua Barcelona. -Foto Reuters
MESSI jaring gol kedua Barcelona. -Foto Reuters
AFP

MADRID: Barcelona mengekalkan kelebihan lima mata di puncak La Liga ketika Luis Suarez dan Lionel Messi meledak gol dalam tempoh 20 minit terakhir permainan untuk menewaskan Villarreal 2-0, awal pagi tadi.

Villarreal terpaksa beraksi 10 pemain selepas Daniel Raba dilayangkan kad merah selepas sejam perlawanan berlangsung berikutan tindakan ganasnya terhadap Sergio Busquet sekali gus memberikan kelebihan buat Barca.

Dan gawang mereka akhirnya bocor apabila Suarez membuktikan ketajamannya sebelum Messi menjaringkan gol kedua untuk membawa kelab Catalan itu kembali ke landasan kemenangan selepas dua keputusan seri dilakar di Valencia dan Celta Vigo sebelum ini.

“Pada babak kedua selepas pemain lawan diarah keluar padang kami memperoleh peluang untuk memenangi perlawanan ini,” kata Suarez kepada Movistar TV.

“Mereka peraga permainan yang cukup baik secara taktikal dan kami tidak cukup tepat tetapi pada babak kedua, kami berjujuang dengan mentaliti yang berbeza untuk mengambil tiga mata.”

Suarez (kanan) jaring gol pembukaan buat Barcelona. -Foto AFP
Suarez (kanan) jaring gol pembukaan buat Barcelona. -Foto AFP

Valencia kekal pencabar terdekat Barca selepas ketinggalan dengan lima mata di belakang tetapi Atletico Madrid juga mengekalkan pemburuan liga hasil kemenangan 1-0 di Real Betis untuk dipisahkan hanya dengan enam mata.

Real Madrid pula kekal ketinggalan lapan mata di tangga keempat dan Barca berpeluang untuk mengharungi aksi El Clasico di laman lawan dalam tempoh dua minggu lagi dengan kelebihan 11 mata di hadapan seteru utamanya itu.

Barca dijadual bertemu Deportivo la Coruna minggu depan ketika Real beraksi di saingan Piala Dunia Kelab di Abu Dhabi.

“Saya akan tenang apabila musim ini sudah berakhir dan kami menang segala-galanya. Perjalanan masih panjang tetapi kemenangan di tempat seperti ini amat penting,” kata pengurus Barca, Ernesto Valverde

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 1:58 PM