PKNP pasti akan beri cabaran sengit dalam aksi Liga Super musim depan.
PKNP pasti akan beri cabaran sengit dalam aksi Liga Super musim depan.
Azizan Hashim


PERBADANAN Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC akan meneruskan objektif mereka dalam melahirkan bakat baru meskipun mereka berdepan cabaran lebih besar apabila bersaing dalam Liga Super pada tahun depan.

Menurut Pengerusi PKNP FC, Datuk Aminuddin Md Desa peluang yang diberikan oleh pihak Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk bersaing dengan pasukan elit akan digunakan sebaik mungkin.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih khusus kepada, Pengerusi FMLLP dan Presiden FAM, Tuanku Ismail Ibni Sultan Ibrahim kerana menaikkan pasukan PKNP FC ke Liga Super. PKNP FC telah menerima tawaran daripada FMLLP melalui surat bertarikh 4 Disember 2017 untuk beraksi ke Liga Super Malaysia 2018.

“Selepas membuat pertimbangan yang sewajarnya, PKNP FC dengan ini menerima tawaran tersebut,” kata Aminuddin yang juga ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNP dalam satu kenyataan akhbar petang ini.

Pencapaian PKNP FC ke Liga Super Malaysia 2018 sebagai bukti kejayaan berterusan pasukan ini sejak memulakan pembabitan dalam Liga Malaysia pada tahun 2016 di dalam Piala FAM dengan mereka muncul naib juara.

Kemudian kelab terbabit bertanding dalam Liga Perdana 2017 dan berjaya mendapat tempat ketiga disamping mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia dan Piala FA 2017.

“Pembabitan PKNP FC di dalam arena bola sepak negara adalah dengan objektif untuk melahirkan serta mengasah bakat-bakat baru.

“PKNP FC akan terus mengekalkan objektif ini bagi menyediakan platform untuk bakat-bakat baru menggilapkan bakat mereka disamping mencapai kejayaan didalam semua pertandingan yang disertai ” kata Aminuddin yang melahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan penyokong dalam usaha mencapai misi ke Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 7:54 PM