DORTMUND perlu menang lawan Schalke esok. -Foto Reuters
DORTMUND perlu menang lawan Schalke esok. -Foto Reuters
AFP

BERLIN: Borussia Dortmund yang dilanda krisis akan cuba menyelamatkan musim mereka apabila berdepan musuh tradisi Schalke 04 dalam aksi Bundesliga malam esok, ketika jurulatih Peter Bosz berjuang mengekalkan jawatannya.

Sementara itu, Bayern Munich berharap mengukuhkan cengkaman mereka di puncak liga dengan kemenangan di Borussia Moenchengladbach, manakala RB Leipzig melayan kunjungan Werder Bremen.

Bagaimanapun hujung minggu ini, semua tumpuan diberikan kepada pertembungan musuh setempat Ruhr apabila Dortmund menerima kehadiran Schalke.

Dortmund tidak menang aksi liga sejak September lalu dan sudah kalah lima daripada sembilan aksi dalam semua pertandingan, menyebabkan harapan mereka mencabar kejuaraan menjadi lebih sukar.

Sesudah mendahului lima mata di puncak carta awal musim ini, Dortmund kini sembilan mata di belakang pendahulu Bayern dan merudum ke tangga kelima.

Antara yang berjaya mengatasi mereka musuh setempat Schalke, yang melonjak ke tangga kedua, menambah lebih tarikan terhadap perlawanan musuh setempat malam esok.

Ketika Dortmund menjadi kuasa dominan di Ruhr akhir-akhir ini, media Jerman kini meramalkan kuasa itu bertukar tangan kepada Schalke.

Dari segi mata dan maruah, pertembungan musuh setempat itu satu aksi mesti menang buat Dortmund.

“Kami mesti menang Sabtu ini. Kami memang mesti menang,” kata Bosz selepas kekalahan Dortmund di tangan Tottenham Hotspur, Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 3:42 PM