YEW Sin (kiri) dan Wee Kiong mara pusingan kedua Terbuka Hong Kong.
YEW Sin (kiri) dan Wee Kiong mara pusingan kedua Terbuka Hong Kong.
Fabian Peter


KETUA jurulatih beregu negara, Cheah Soon Kit tidak menolak kemungkinan untuk menguji kombinasi baharu sebagai persediaan mengharungi beberapa kejohanan utama tahun depan.

Dia menyatakan demikian selepas menyaksikan gandingan Tan Wee Kiong-Ong Yew Sin menewaskan pilihan kelapan dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Lee Yang 21-16, 21-16 untuk melangkah ke pusingan kedua Terbuka Hong Kong, semalam.

Begitupun ketika Wee Kiong-Yew Sin memulakan saingan dengan langkah kanan, satu lagi gandingan negara, Goh V Shem-Teo Ee Yi tersungkur di pusingan pertama selepas tewas 17-21, 21-10, 21-12 kepada pilihan utama Gideon Marcus Fernaldi-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia.

Terbuka Hong Kong adalah kejohanan keempat bagi kedua-dua gandingan itu selepas pemenang pingat perak Olimpik 2016 di Rio, Brazil V Shem-Wee Kiong dipisahkan pada September lalu.

“Kedua-dua gandingan ini jelas bermain dengan lebih baik tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan. Dari sudut kemahiran, saya percaya mereka boleh melakukan dengan lebih baik.

“Kita juga perlu faham yang kedua-dua gandingan masih baharu. Jadi ia mungkin menjadi agak sulit bagi lawan mereka. Kami perlu meneliti situasi ini dengan sebaik-baiknya.

“Masih awal untuk mengatakannya. Jadi kami akan menguji mereka untuk beberapa lagi kejohanan sebelum menukar fokus ke arah cabaran yang lebih besar pada musim depan,” kata Soon Kit ketika dihubungi.

Ketika ditanya kemungkinan memecahkan gandingan sedia ada itu, legenda beregu negara itu berkata: “Saya boleh katakan kami terbuka terhadap sebarang kemungkinan.”

Lawan Wee Kiong-Yew Sin di peringkat seterusnya ialah gandingan pemain Indonesia dan Malaysia, Hendra Setiawan dan Tan Boon Heong, esok bagi memburu tempat ke suku akhir.

Sementara itu, jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei tidak bermasalah untuk melangkah ke peringkat seterusnya apabila menang mudah 21-9, 21-7 ke atas pemain China, Tian Houwei di pusingan pertama.

Chong Wei yang kali terakhir memenangi gelaran di All England pada Mac lalu dijadual bertemu sama ada pemain tuan rumah, Wei Nan atau pemain China, Qiao Bin di pusingan kedua.

Dalam acara beregu wanita, gandingan utama negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei terpaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan tiga set 21-18, 17-21, 21-16 ke atas pasangan adik beradik Bulgaria, Gabriela dan Stefani Stoeva.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 12:18 AM