MALAYSIA Cougars meraikan kejayaan menjadi juara dengan menewaskan Sporting Lisbon.
MALAYSIA Cougars meraikan kejayaan menjadi juara dengan menewaskan Sporting Lisbon.
Firdaus Hashim


SAINGAN Piala SuperMokh 2017 bakal tampil lebih menarik dengan beberapa perubahan format termasuk tambahan kategori bawah 13 tahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar, kejohanan bermula dari 13-17 Disember ini bakal menghimpunkan 24 pasukan dan kelab ternama dari seluruh dunia seperti Arsenal, Paris Saint-Germain (PSG), Sporting Lisbon dan Az Alkmaar.

“Tahun ini Piala SuperMokh akan mengalami sedikit perubahan apabila kita akan mempertandingkan tiga kategori berbanding sebelum ini – bawah 12 dan bawah 14 tahun. Jadi tahun ini, kita tambah kategori bawah 13 tahun dengan setiap kategori menampilkan lapan pasukan.

PEMAIN Malaysia Cougars, Muhammad Raimi Shamsuk (kiri) diasak pemain Sporting Lisbon, Francisco Duarte Lima.
PEMAIN Malaysia Cougars, Muhammad Raimi Shamsuk (kiri) diasak pemain Sporting Lisbon, Francisco Duarte Lima.

“Walaupun jumlah penyertaan pasukan berkurangan berbanding edisi lalu, pembabitan pasukan kali ini dilihat lebih berkualiti daripada sebelum ini.

“Setiap kumpulan akan mempunyai wakil dari kelab Eropah dan secara tidak langsung menjadikan cabaran lebih sengit.

“Saya percaya Arsenal, PSG dan Sporting Lisbon serius untuk memenangi kejohanan ini selain kita juga mahu mempertahankan kejuaraan (B-14) yang dimenangi musim lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Skuad kendalian Lim Teong Kim atau turut dikenali dengan gelaran skuad elit NFDP, muncul juara Piala SuperMokh 2016 selepas mengalahkan wakil Portugal, Sporting CP (B-14) 1-0 pada final di Bukit Jalil.

ANAK buah Teong Kim tahun ini terlepas aksi Piala SuperMokh kerana sertai Kejuaraan AFC B-16.
ANAK buah Teong Kim tahun ini terlepas aksi Piala SuperMokh kerana sertai Kejuaraan AFC B-16.

Begitupun, Sporting CP menebus kehampaan dengan memenangi kategori B-12 apabila mengalahkan Gimpo JIJ FC dari Korea Selatan 2-0 dalam satu lagi perlawanan akhir.

“Apa yang lebih menarik, tahun ini kita tidak boleh menghantar skuad Lim Teong Kim kerana usia mereka sudah melepasi umur 14 tahun. Tapi mereka sedang dipersiapkan untuk menghadapi pusingan akhir Kejuaraan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) B-16 tahun depan yang turut menjanjikan empat tiket ke Piala Dunia B-17 pada 2019 nanti.

“Jadi, kali ini kita akan dapat menyaksikan produk baharu daripada program NFDP ini. Saya harap pasukan kita mampu bersaing dan meraih pendedahan sebaiknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 3:17 PM