DHAARMA sokongan cadangan MHC wujud kejohanan antarabangsa wanita bawah 21 tahun.
DHAARMA sokongan cadangan MHC wujud kejohanan antarabangsa wanita bawah 21 tahun.
Saiful Affendy Sapran


KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menganggap cadangan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk mewujudkan kejohanan antarabangsa wanita bawah 21 tahun (B-21) adalah keputusan paling tepat.

Mengambil kira pengalamannya membimbing skuad senior, Dhaarma percaya kejohanan itu akan dapat membina karektor seseorang pemain muda sebelum diserap ke dalam skuad kebangsaan.

“Berdasarkan pengalaman saya, apabila kami memilih barisan pemain muda untuk beraksi bersama skuad senior, mereka tidak mempunyai perwatakan yang matang dan ia mengakibatkan mereka tidak mampu berdepan tekanan tinggi.

“Situasi itu berbeza berbanding pasukan lelaki apabila kita ada kejohanan kebangsaan bawah 16, 18 dan 21 tahun. Jadi apabila mereka dipilih beraksi bersama skuad utama, mereka dapat menyesuaikan diri dengan cepat.

“Sebab itu saya percaya cadangan MHC itu sangat baik,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Dhaarma lagi, sekiranya benar penganjuran kejohanan itu menjadi kenyataan, Malaysia selaku tuan rumah boleh menjemput pasukan terbaik dunia untuk beraksi.

“Secara tidak langsung, barisan pemain muda kita akan memperoleh pengalaman yang sangat berguna.

“Tidak kisah sekiranya mereka tewas kerana apa yang penting adalah pendedahan beraksi di tahap tertinggi,” katanya.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal menerusi laporan sebelum ini berkata, badan induk berkenaan sedang berusaha untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa wanita bawah 21 tahun bagi meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.

Ketika ini, ia masih di dalam peringkat perbincangan, namun beliau tidak menolak untuk cuba menganjurkannya pada hujung tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 10:21 PM