SOON Huat (kanan) dan Shevon cipta sejarah apabila mara ke separuh akhir kejohanan bertaraf Siri Super Premier itu buat kali pertama. -Foto fail
SOON Huat (kanan) dan Shevon cipta sejarah apabila mara ke separuh akhir kejohanan bertaraf Siri Super Premier itu buat kali pertama. -Foto fail
Helmi Talkah


PEMAIN badminton beregu campuran negara, Goh Soon Huat menyifatkan aksi di Terbuka Denmark dua minggu lalu sebagai detik paling manis serta pengalaman berharga buat dirinya dan pasangan, Shevon Lai Jemie.

Soon Huat-Shevon mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke separuh akhir kejohanan bertaraf Siri Super Premier itu buat kali pertama, sejak mereka digandingkan tahun lalu.

Mereka terlepas peluang untuk mara ke final selepas tewas kepada pilihan utama dari China, Zheng Siwei-Chen Qingchen, 16-21, 16-21.

Walaupun gagal meneruskan rentak cemerlang itu di Terbuka Perancis - tersingkir di pusingan pertama minggu lalu, namun bagi Soon Huat, mereka dapat belajar sesuatu daripada dua kejohanan berkenaan.

Keputusan itu juga membantu mereka untuk merealisasikan misi menghuni kelompok 10 terbaik dunia menjelang hujung tahun ini.

“Di Terbuka Denmark, kami bermain sangat baik dan hampir mara ke final. Biarpun tewas tetapi kini kami tahu di mana tahap kami yang sebenarnya, dan kami akan perbaiki setiap kelemahan.

“Ia adalah pengalaman berharga. Di Terbuka Perancis, kami banyak melakukan kesilapan di dalam gelanggang dan membolehkan lawan kami mengutip mata.

“Apa pun, dua kejohanan ini banyak mengajar kami dalam usaha meningkatkan prestasi,” kata Soon Huat yang juga bekas pemain perseorangan lelaki negara.

Soon Huat mengambil keputusan beralih kepada acara beregu campuran atas saranan bekas Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen selepas gagal mencetuskan impak dalam acara perseorangan.

Soon Huat-Shevon yang menghuni ranking ke-14 dunia kini memegang status sebagai beregu campuran nombor dua negara, di belakang Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (11 dunia).

Tugasan seterusnya buat Soon Huat-Shevon adalah pada Terbuka China yang bermula 14 hingga 19 November ini, sebelum Terbuka Hong Kong (21 hingga 26 November).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 5:45 PM