KANE makin cemerlang musim ini bersama Spurs.
KANE makin cemerlang musim ini bersama Spurs.
AFP

LONDON: Ia boleh menjadi rekod perpindahan dunia dengan nilai 250 juta euro (RM1.2 bilion) diperlukan untuk mengikat Harry Kane daripada Tottenham Hotspur, kata Presiden Real Madrid, Florentino Perez.

Penyerang kebangsaan England yang sudah meledak 13 gol dalam 12 perlawanan musim ini mencetuskan khabar angin betapa dia boleh menjadi bintang terbaru Spurs yang bermain di kelab Sepanyol selepas Luka Modric dan Gareth Bale.

Bagaimanapun, selepas berhempas-pulas mendapatkan Bale dengan rekod perpindahan dunia bernilai 100 juta euro (RM497 juta) pada 2013, Perez kini lebih berhati-hati untuk cuba berunding dengan pengerusi Tottenham, Daniel Levy.

“Saya fikir dia pemain yang hebat, dia masih muda dan mempunyai masa depan yang panjang untuk terus berkembang,” kata Perez kepada stesen radio Sepanyol, Cadena Cope selepas menghadiri anugerah tahunan FIFA.

Perez percaya Levy melambatkan rundingan hingga tamat jendela perpindahan untuk mendapatkan perjanjian lebih baik, bermakna beliau mahukan lebih daripada 222 juta euro (RM1.1 bilion) yang dibayar Paris Saint-Germain untuk merampas Neymar daripada Barcelona, Ogos lalu.

“Tidak, (saya tidak bertanyakan harga) kerana jika saya tanya, beliau akan memberitahu saya 250 juta euro,” ujar Perez.

“Kami rapat dengan Tottenham selepas perbincangan untuk menandatangani Luka Modric dan Gareth Bale dengan kedua-duanya diikat pada hari terakhir jendela perpindahan.

“Kami akhirnya mempunyai hubungan yang baik dan beliau (Levy) berkata kepada saya ketika kami memenangi Piala Eropah: “Terima kasih kerana memenangi Piala Eropah dengan pemain saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 10:41 PM