KIM Swee jangkakan anak buahnya bakal menempuh ranjau pada Kejohanan B-23 AFC di Changzhou /OWEE AH CHUN.
KIM Swee jangkakan anak buahnya bakal menempuh ranjau pada Kejohanan B-23 AFC di Changzhou /OWEE AH CHUN.
Aziman Rosdi


DEBARAN menanti jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Datuk Ong Kim Swee menjelang undian Kejohanan B-23 AFC di Changzhou, China esok yang akan menentukan untung nasib anak buahnya pada pusingan akhir itu.

Skuad muda negara layak ke pusingan akhir kejohanan itu buat kali pertama selepas muncul juara Kumpulan H dalam saingan kelayakan di Bangkok Julai lalu.

Bagaimanapun status sebagai juara kumpulan tidak memberi sebarang kelebihan buat Malaysia dalam sesi undian apabila tetap diletakkan dalam kedudukan empat pasukan terakhir dalam balang 4 bersama Vietnam, Oman dan Palestin.

Sedangkan Thailand yang menamatkan saingan di tempat kedua di belakang skuad negara pada pusingan kelayakan berada dalam balang 3.

Ini kerana kedudukan pasukan dalam balang itu mengambil kira keputusan pada pusingan akhir 2016 yang mana Malaysia tidak layak beraksi berbanding Thailand.

Bagaimanapun bagi Kim Swee, beliau awal-awal lagi sudah menjangkakan ranjau menanti anak buahnya tidak kira apa keputusan undian esok.

“Kalau anda lihat pasukan yang layak ke pusingan akhir ini adalah yang terbaik di Asia jadi mana-mana pasukan yang kami akan temui tidak ada yang mudah. Pada saingan tahap ini, kami tak boleh mengelak daripada bertemu lawan yang kuat jadi pentas ini penting untuk mengukur kemampuan pemain. Apa yang mustahak adalah persiapan pasukan rapi bagi menghadapi kejohanan ini.

“Sekarang anda tahu betapa penting untuk kami layak ke kejohanan ini dan mendapatkan keputusan baik bagi memberi sedikit kelebihan undian dalam kejohanan dua tahun lagi. Kejohanan selepas ini lebih penting kerana ia menentukan kelayakan ke Sukan Olimpik 2020,” katanya.

Dalam undian itu, tuan rumah China akan berada dalam balang 1 bersama juara 2016 Jepun, Iraq (juara 2013) dan Korea Selatan (naib juara 2016).

Balang 2 pula diisi Qatar, Jordan, Korea Utara dan Australia manakala balang 3 membabitkan Uzbekistan, Syria, Arab Saudi dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 8:47 PM