KONTRAK Ricciardo bersama Red Bull tamat pada 2018. FOTO/AFP
KONTRAK Ricciardo bersama Red Bull tamat pada 2018. FOTO/AFP
AFP

AUSTIN: Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner menjelaskan yang dia mahu mengekalkan pemandu Australia, Daniel Ricciardo untuk berada di samping Max Verstappen selepas musim Formula Satu (F1) 2018.

Sehari selepas mengesahkan lanjutan kontrak Verstappen selama tiga tahun sehingga 2020, Horner menegaskan yang Red Bull tidak mempunyai hasrat untuk memberi Ricciardo tugasan sokongan selain menolak pandangan yang menyatakan pemandu Australia itu akan dilepaskan untuk menyertai Mercedes ataupun Ferrari dalam usaha memburu gelaran dunia.

Ricciardo sebelum ini berkata, dia tidak perlu tergesa-gesa bagi menentukan masa depannya - dengan kontraknya berakhir pada hujung 2018 - dan mungkin mahu menikmati peluang untuk berlumba di samping juara dunia tiga kali, Lewis Hamilton.

Bagaimanapun, Horner berkata dia yakin yang Ricciardo akan kekal bersama Red Bull selain menyatakan yang mereka boleh menyediakan kereta kompetitif yang mampu muncul juara.

 HORNER yakin dapat sediakan jentera yang laju kepada Ricciardo. FOTO/AFP
HORNER yakin dapat sediakan jentera yang laju kepada Ricciardo. FOTO/AFP

“Masa akan menentukan segala-galanya,” kata Horner. “Daniel sangat gembira bersama pasukan. Sekiranya kami mampu menyediakan kereta kompetitif, maka saya mempunyai keyakinan yang dia akan kekal di sini pada masa depan.

“Dia mungkin mempunyai isu sama dengan pasukan lain (Ferrari dan Mercedes) dan saya fikir Red Bull amat sesuai dengan personaliti dimilikinya. Dengan cara kami, dia dapat melihat dia menerima layanan setimpal dan dia bukanlah hanya memegang peranan sokongan.

“Di sini, kami memberikan pemandu peluang yang sama rata. Dengan pasukan lain, dia mungkin beraksi dengan hanya sebagai sokongan.

“Masih ada baki 12 bulan dalam kontrak Daniel jadi kami mempunyai masa lagi namun apabila tiba pada masanya, kami akan berbincang mengenai masa depan. Apa yang jelas, kami mahu memastikan yang kami mahu mengekalkan Daniel selepas musim 2018.

“Itu adalah matlamat utama kami - mengekalkan kedua-dua pemandu ini. Bagi saya, ini adalah senarai pemandu terbaik yang kami miliki dan kami amat ingin untuk mengekalkan mereka berdua.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 11:49 AM