NADAL ketika temuramah di Terbuka Shanghai, China. FOTO/REUTERS
NADAL ketika temuramah di Terbuka Shanghai, China. FOTO/REUTERS
AFP

SHANGHAI: Pemain nombor satu dunia, Rafael Nadal menyatakan dia menikmati setiap kejayaan lebih berbanding sebelum ini terutama selepas kembali memperoleh puncak prestasi tahun ini susulan dibelenggu kecederaan.

Pemain Sepanyol berumur 31 tahun itu memenangi gelaran keenamnya tahun ini di Beijing Ahad lalu, selepas menjulang gelaran Terbuka Amerika Syarikat ketiganya.

Kebangkitan Nadal selepas dibelenggu kecederaan menjadi tajuk utama tahun ini di samping perseteruannya dengan musuh lama Roger Federer.

Bercakap di Masters Shanghai, yang mana Federer turut beraksi, Nadal berkata: “Sudah tentu ia sesuatu yang menggembirakan (dapat menang kejohanan selepas kecederaan).

“Tapi ini perasan yang saya sudah rasa beberapa kali dalam karier saya. Sudah tentu ia bukan perkara yang positif, kerana lebih baik jika tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Namun pada masa sama, satu-satunya perkara positif mengenai kecederaan adalah apabila anda dapat membuat kemunculan semula dan berjaya, anda lebih menghargainya.”

Nadal, pemenang 16 gelaran Grand Slam yang mengalami masalah lutut selama beberapa tahun, bermain menentang pemain bukan pilihan Jared Donaldson dari Amerika Syarikat pada perlawanan pembukaan di Shanghai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 9:33 PM