VIVIAN (kiri) teruja kembali beraksi. -Foto fail
VIVIAN (kiri) teruja kembali beraksi. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN beregu wanita negara, Vivian Hoo berharap momentum ketika muncul juara Terbuka New Zealand dan beraksi cemerlang di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 masih belum luntur walaupun terpaksa berehat selama sebulan kerana kecederaan otot badan.

Menurut pemain dari Kuala Lumpur itu, dia kini sudah tidak berdepan sebarang masalah kecederaan dan berada dalam keadaan terbaik untuk beraksi di Terbuka Denmark serta Perancis hujung bulan ini.

“Selepas Sukan SEA, ini (Terbuka Denmark dan Perancis) adalah kejohanan pertama saya dan setakat ini persiapan saya berjalan lancar. Sebelum ini saya dan Woon Khe Wei terpaksa mengetepikan dua kejohanan Terbuka Jepun dan Korea Selatan, tapi sekarang kami sudah bersedia untuk kembali,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, hari ini.

Jelasnya, apa yang perlu dilakukan di kedua-dua kejohanan itu adalah mencari keserasian kejohanan serta gelanggang.

“Saya harap cepat menyesuaikan diri dan momentum ketika bermain di New Zealand dan Sukan SEA masih belum hilang. Memang saya harap dapat mengekalkan prestasi kerana kami sudah melalui latihan keras beberapa minggu ini. Dalam masa sama proses pemulihan kecederaan juga amat penting kerana ia akan membantu seseorang pemain segera pulih.

“Berdasarkan undian saya lihat ia bukan mudah buat kami untuk melepasi pusingan awal. Kami akan menentang pemain pilihan di kedua-dua kejohanan itu tapi kami berjanji akan memberikan yang terbaik,” katanya.

Pada Terbuka Denmark, Vivian-Khe Wei akan berdepan pilihan kelima dari China, Huang Dongping-Li Yinhui manakala di Terbuka Perancis mereka menentang pasangan pilihan ketujuh dari Jepun, Shiho Tanaka-Koharu Yonemoto.

“Tahun ini sasaran kami bermain pada Sukan SEA. Jadi menjelang hujung tahun ini kami harus mengekalkan prestasi untuk membuat persediaan beraksi di beberapa temasya tahun depan (Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Jakarta-Palembang),” katanya.

Pada Sukan SEA Ogos lalu, Vivian-Khe Wei meraih gangsa selepas tumpas kepada pemenang pingat emas Jongkolphan Kithitharakul-Rawinda Prajongjai pada separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 4:12 PM