VETTEL ketika sesi latihan bebas kedua  di SIC, semalam.
VETTEL ketika sesi latihan bebas kedua di SIC, semalam.
Saiful Affendy Sapran dan Sukhairi Thani & Fadli Ishak

Kuala Lumpur: Ferrari memberi amaran awal menjelang sesi kelayakan hari ini apabila dua pemandunya mendominasi sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.

Juara dunia empat kali Sebastian Vettel mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas kedua dengan catatan 1 minit 31.261 saat, manakala rakan sepasukan Kimi Raikkonen ketinggalan 0.604s di belakang rakan sepasukannya itu.

Vettel yang muncul juara terbanyak di SIC dengan rekod empat kali berkata, meskipun meraih catatan terpantas, dia tidak mahu terlalu meletakkan keyakinan tinggi pada sesi kelayakan hari ini.

“Sesi latihan pertama di sebelah pagi berdepan situasi tidak menentu dan tidak banyak pusingan dapat dilakukan.

“Tapi, pada sesi latihan kedua, ia lebih baik dan jentera bertambah baik sejak awal. Kemudian kami mencuba beberapa perkara baru, namun tidak dapat melakukan sepenuhnya kerana sesi latihan kedua terpaksa dihentikan kerana bendera merah.

“Nampaknya kami mempunyai pakej yang baik dan segala-galanya terpulang kepada kami untuk meraih keputusan terbaik pada sesi kelayakan esok dalam apa juga situasi cuaca,” katanya.

Dua pemandu Red Bull Racing juga mempamerkan prestasi memberangsangkan.

Daniel Ricciardo mencatat masa ketiga terpantas dengan catatan 1:32.099s dan Max Verstappen keempat (1:32.109s)

Fernando Alonso dari McLaren Honda melakukan kejutan apabila mencatat masa kelima terpantas (1:32.564s) manakala pendahulu kejuaraan pemandu Lewis Hamilton dari Mercedes AMG PETRONAS keenam (1:32.677s).

Rakan sepasukan Hamilton, Vallteri Bottas pula ketujuh terpantas dengan catatan 1:32.720.

Sesi latihan bebas kedua terpaksa dihentikan lebih awal selepas tayar kereta Romain Grosjean dari pasukan Haas pecah kerana terlanggar penutup longkang pada hujung sesi latihan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 4:55 AM