KEADAAN mental V Shem (kiri) dan Wee Kiong perlu diperkukuhkan lagi. -Foto fail
KEADAAN mental V Shem (kiri) dan Wee Kiong perlu diperkukuhkan lagi. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi


SUDAH tiba masanya beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menggunakan khidmat pakar psikologi baru.

Itu pandangan yang diluahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Dr Khairi Zawi yang berpendapat pakar psikologi yang selama ini diberi tanggungjawab mengukuhkan mental semua pemain badminton negara, sudah ketandusan idea.

“Pakar psikologi yang bagus sudah boleh mengesan masalah yang dialami pemain ketika latihan lagi dan bukannya semasa atau selepas menyertai pertandingan.

“Sebenarnya kelemahan ini mempunyai banyak faktor, psikologi salah satu darinya. Bagaimanapun, saya memerlukan data untuk mengesahkan perkara ini,” katanya ketika ditemui Arena Metro semalam.

Jelasnya, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria juga menitikberatkan mengenai perkara sama (kelemahan mental) terutama selepas skuad badminton negara tidak mencapai sasaran di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Berbalik kepada isu beregu lelaki utama negara, saya rasa penurunan prestasi mereka disebabkan banyak faktor. Gangguan psikologi terjadi sebab mereka terpaksa memikul tanggungjawab berat. Mungkin kesilapan itu datang dari pihak kami, walaupun pihak persatuan ada meminta pakar-pakar tertentu.

“Seperti contoh, jika tiada keputusan membanggakan dicapai pemain negara, kita boleh menghantar pakar penganalisa prestasi yang lain dan tidak terhad kepada orang sama saja.

“Pakar yang berbeza, akan menggunakan teknik yang berbeza. Kalau asyik guna orang yang sama memang ada kelebihan dari segi rapat dengan pemain tapi tidak mempunyai jaminan bagi menghasilkan keputusan cemerlang. Sama seperti pakar sains, apabila sudah menghasilkan ciptaan baru beliau akan berasa selesa dan berhenti melakukan reka cipta,” katanya.

Ujar Khairi, ISN sentiasa menjadi sebahagian daripada rakan kongsi BAM di mana kedua-dua pihak sentiasa terbuka mengenai perkara itu.

“Kita sebenarnya mempunyai bilangan pakar yang banyak dan perlu menggunakannya dengan baik. Bagaimanapun, persatuan ada kalanya meminta individu tertentu saja untuk dibawa. Sekarang untuk ‘post mortem’ bukan pemain saja perlu melaluinya tetapi pihak sains sukan juga harus menjalani perkara ini.

“Sebelum ini, penganalisa prestasi di BAM adalah orang yang sama, begitu juga dengan pakar psikologi dan pakar urut. Sepatutnya kita harus mencuba orang baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 11:29 PM