NADAL rangkul kejuaraan Terbuka AS ketiga selepas menewaskan Anderson.
NADAL rangkul kejuaraan Terbuka AS ketiga selepas menewaskan Anderson.
AFP

NEW YORK: Rafael Nadal merangkul kejuaraan Terbuka AS ketiga dan mahkota Grand Slam ke-16 awal pagi tadi selepas membenam pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson 6-3, 6-3, 6-4 dalam masa dua jam 28 minit.

Pemain nombor satu dunia itu, yang turut bergelar juara di New York pada 2010 dan 2013, menokok kejuaraan Terbuka AS selepas muncul juara dengan rekod 10 kali pada Terbuka Perancis, Jun lalu.

Musuh lamanya Roger Federer memenangi dua lagi Grand Slam musim ini di Terbuka Australia, menundukkan Nadal pada final dan Wimbledon sekali gus menggambarkan kehebatan dan keperkasaan dua jaguh Grand Slam itu belum berakhir.

NADAL membalas pukulan Anderson.
NADAL membalas pukulan Anderson.

Jumlah gelaran Grand Slam milik Nadal hanya tiga kurang di belakang rekod dipegang Federer 19.

Bagi Nadal, ia kejuaraan kelimanya tahun ini dan ke-74 sepanjang kariernya manakala hadiah wang juara AS$3.7 juta (RM15.5 juta) melonjakkan kutipan hadiah kemenangannya menghampiri angka AS$90 juta (RM378 juta).

“Dua minggu yang istimewa buat saya. Sukar dipercayai apa yang berlaku tahun ini selepas beberapa musim dengan kecederaan serius dan tidak bermain dengan baik,” kata Nadal.

“Ia tahun yang penuh emosi sejak Terbuka Australia. Saya bermain tenis di tahap tertinggi dan menang sekali lagi di sini amat menakjubkan.”

Nadal turut menyanjung jurulatih yang juga bapa saudaranya Toni yang melatihnya sejak dia berusia tiga tahun namun akan menarik diri daripada pasukannya hujung tahun ini.

“Terlalu besar jasanya kepada saya,” ujar pemain dari Sepanyol itu.

“Tanpanya saya tidak akan berada di sini bermain tenis. Beliau memberikan saya kekuatan dan motivasi. Apabila saya berdepan masalah kecederaan saya berjaya menanganinya kerana beliau.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 10:16 AM