Milik (kiri) jaring gol pertama Poland ketika menentang Kazakhstan. -Foto AFP
Milik (kiri) jaring gol pertama Poland ketika menentang Kazakhstan. -Foto AFP
Reuters

WARSAW: Poland mengukuhkan cengkaman mereka dalam Kumpulan E ketika tandukan Arkadiusz Milik dan Kamil Glik serta sepakan penalti Robert Lewandowski membantu kemenangan 3-0 ke atas Kazakhstan pada aksi kelayakan Piala Dunia, awal pagi tadi.

Poland kini mengumpul 19 mata selepas lapan perlawanan, tiga mata di depan pasukan tangga kedua Denmark, yang dibelasah mereka 4-0 hujung minggu lalu dan Montenegro di tangga ketiga dengan baki dua perlawanan.

Milik, yang kembali beraksi selepas mengalami kecederaan lutut ketika menang 3-2 ke atas Denmark Oktober lalu, membuka tirai jaringan selepas 10 minit menerusi tandukan padu jarak dekat.

Kazakhstan yang mengamalkan corak bertahan berjaya mengekang lawan namun kecewa selepas rehat apabila percubaan penyerang Roman Murtazayev pada minit ke-48 dibatalkan kerana ofsaid.

Satu lagi saat kontroversi hadir pada minit ke-71 apabila sepakan pecuma kapten Lewandowski kelihatan melepasi garisan gol namun pengadil Andris Treimanis tidak membenarkan gol itu.

“Saya kecewa... ia jelas gol. Saya melihatnya dari jarak 25 meter dan pengadil berdiri lebih dekat. Pelik beliau menafikannya, mujurlah kami berjaya meraih dua lagi gol dan menang perlawanan ini,” ujar Lewandowksi.

Tiga minit selepas percubaan Lewandowski dibatalkan, Poland sekali lagi meledak menerusi tandukan kencang pertahanan Glik susulan sepakan sudut Piotr Zielinski sebelum penyerang Bayern Munich itu melengkapkan jaringan dengan sepakan penalti pada minit ke-86.

“Kami patut menjaringkan lebih banyak gol,” jelas Lewandowski. “Saya tidak lihat ada alasan kami kekurangan (sentuhan pemusnah) dan kualiti dalam hantaran terakhir. Keputusan sepatutnya lebih bagus berbanding 3-0.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 11:53 AM