NEYMAR (dua dari kiri) ledak dua gol pada aksi pertamanya bersama PSG.
NEYMAR (dua dari kiri) ledak dua gol pada aksi pertamanya bersama PSG.
AFP

NEYMAR tidak membuang masa dalam membuat impak buat Paris Saint-Germain, menjaringkan gol pada penampilan sulungnya ketika menang 3-0 ke atas Guingamp awal pagi tadi dan mengisytiharkan dirinya “berasa lebih bagus berbanding sebelum ini.”

Pemain Brazil itu diturunkan oleh jurulatih Unai Emery bagi perlawanan di Brittany, dua hari selepas mendapat sijil perpindahan antarabangsa menerusi perpindahan yang mencipta rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion) dari Barcelona.

Pemain berusia 25 tahun itu memainkan peranan dalam mencetus gol sendiri Jordan Ikoko yang membolehkan pelawat mendahului pada awal babak pertama.

NEYMAR (kiri) rasa lebih bagus bersama pasukan barunya.
NEYMAR (kiri) rasa lebih bagus bersama pasukan barunya.

Dia kemudian mencipta gol kedua buat Edinson Cavani menerusi hantaran menakjubkan di belakang pertahanan Guingamp sebelum melengkapkan kemenangan selesa dengan gol ketiga pasukannya lapan minit sebelum tamat ketika PSG mencatat dua kemenangan daripada dua aksi pertama musim Ligue 1 Perancis.

“Mereka fikir meninggalkan Barca anda akan mati, tapi tidak, ia sebaliknya,” kata Neymar.

“Saya lebih bertenaga berbanding biasa. Saya bermain, saya amat gembira dan bola sepak tetap sama. Hanya negara, bandar raya dan pasukan berubah tapi bola sepak tetap sama.”

Di sebalik banyak gangguan dalam beberapa minggu kebelakangan, termasuk kunjungan ke China, Portugal dan French Riviera serta diperkenalkan kepada media dan penyokong PSG dalam suasana gemilang, Neymar berjaya menamatkan aksi 90 minit.

Dia mengambil tempat Javier Pastore dalam pasukan Paris itu yang menyaksikan hanya satu perubahan berbanding ketika menang 2-0 ke atas Amiens minggu lalu, melengkapkan barisan serangan bernilai 350 juta euro (RM1.77 bilion) bersama rakan dari Amerika Selatan, Cavani dan Angel Di Maria.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 8:29 AM