AGUERO (tengah) ledak gol pertama peribadi musim ini.
AGUERO (tengah) ledak gol pertama peribadi musim ini.
AFP

Brighton, England: Pep Guardiola yakin Manchester City belum lagi mempamerkan persembahan terbaik selepas mereka memulakan kempen mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 2-0 di Brighton, awal pagi tadi.

Guardiola sudah berbelanja lebih £200 juta (RM1.1 bilion) untuk membeli pemain baru ketika pengendali dari Sepanyol itu mahu memperbaiki pencapaian hambar tanpa trofi bersama City dalam musim sulungnya di Etihad.

PEMAIN City memberi tepukan kepada penyokong selepas menang aksi pertama.
PEMAIN City memberi tepukan kepada penyokong selepas menang aksi pertama.

Keputusan awal amat menggalakkan ketika City mudah melakar kemenangan menerusi jaringan Sergio Aguero pada minit ke-70 dan gol sendiri Lewis Dunk lima minit kemudian.

Guardiola berpuas hati dengan cara City mengawal pegangan bola dan akhirnya menewaskan kelab pendatang baru liga Brighton.

Namun bekas bos Barcelona dan Bayern Munich itu menjangkakan persembahan lebih baik daripada City sebaik pemain barunya membiasakan diri dengan tempo pantas Liga Perdana.

“Kami mempunyai peluang pada minit awal. Kami menguasai serangan balas dan kami tidak memberikan lawan sebarang peluang. Kami akan memperbaiki cara kami menyerang,” kata Guardiola.

“Saya amat gembira dengan pemain baru. Saya mahu berterima kasih kepada kelab. Kami mempunyai pemain yang ramai serta berbakat besar.

“Tahniah kepada semua warga di Manchester City - kami satu kelab yang kuat.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 8:11 AM