(Dari kiri) Persson, Jialiang, Rosskopf dan Maze bergambar di sidang media T2APAC di PIMS hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
(Dari kiri) Persson, Jialiang, Rosskopf dan Maze bergambar di sidang media T2APAC di PIMS hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


T2 Liga Ping Pong Asia Pasifik (T2APAC) yang akan berlangsung esok hingga 30 Jun di Studio T2Cavern, Pinewood Iskandar Malaysia Studios (PIMS), Iskandar Puteri, Johor, bakal menampilkan 24 pemain terkemuka dunia.

Pengasas dan Pengerusi T2APAC, Frank Ji berkata, T2APAC akan menampilkan pemain dari Belarus, China, England, Jerman, Hungary, Jepun, Taipei, Romania, Russia, Korea Selatan, Singapura, Sweden dan Thailand.

Beliau berkata, setiap pasukan akan diwakili enam pemain dan mereka diketuai empat lagenda iaitu Jiang Jialiang (China), Jorgen Persson (Sweden), Jorg Rosskopf (Jerman) dan Michael Maze (Denmark).

Menurutnya, semua pasukan akan berentap bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai USD1.75 juta.

Katanya, persaingan membabitkan acara perseorangan lelaki, wanita dan beregu campuran serta merangkumi 228 perlawanan.

"Ia bakal mencatat sejarah kerana pertandingan ia diadakan di dalam studio berteraskan konsep Hollywood dengan bunyi audio hebat.

"Ia antara usaha mempromosikan sukan ini sekali gus menarik minat belia di seluruh dunia.

"Buat pertama kalinya, perlawanan menggunakan format penetapan masa 24 minit berbanding kiraan mata sebelum ini," katanya pada sidang media T2APAC di PIMS hari ini.

Hadir sama, empat lagenda ping pong, Jiang Jialiang, Jorgen Persson, Jorg Rosskopf dan Michael Maze.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 2:26 PM