Kuala Lumpur: Bergandingan bersama pemenang perak Olimpik Rio 2016 Chan Peng Soon (gambar) jelas sekali membolehkan pemain remaja Peck Yen Wei meraih pelbagai pengajaran dan pengalaman berguna ketika beraksi di Terbuka Indonesia.

Dia yang kembali bergandingan bersama Hoo Pang Ron di Terbuka Taiwan, mengakui berasa sangat bertuah kerana dapat berpasangan bersama senior dan menyediakan peluang terbaik untuk meningkatkan permainannya.

“Ia mampu memajukan permainan saya dan setidak-tidaknya tahu apa kekuatan atau kelemahan ketika bergandingan bersama dia (Peng Soon),” katanya.

Jelasnya, walaupun tidak disenaraikan dalam skuad Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, dia sangat menghargai peluang diberikan pihak pengurusan ketika gandingan Peng Soon, Goh Liu Ying masih lagi berada di Jerman untuk proses pemulihan kecederaan.

“Semasa bergandingan dengannya saya dapat melihat sendiri kelebihan yang ada padanya. Kekuatan yang dimiliki mampu untuk bantu saya jika ada ruang kosong. Corak permainannya juga lebih baik berbanding saya bagi membolehkan saya mampu memajukan diri.

“Saya pasti peluang diberikan ini akan menjadikan permainan saya lebih bagus. Saya mahu cepat belajar dan terus bergerak maju setanding dengan senior lain,” katanya yang juga pasangan keempat beregu campuran negara bersama Pang Ron di belakang Peng Soon-Liu Ying, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 5:56 AM