Agensi

Turin: Pada usia 39 tahun, penjaga gol Juventus Gianluigi Buffon (gambar) pernah menjulang 10 gelaran Serie A dan Piala Dunia 2006 turut pernah berada dalam dakapannya bersama skuad kebangsaan Itali.

Selaku pemain senior, belum pernah ada mana-mana pemain yang mampu mengatasi rekod penampilannya bersama Juventus dan dia juga pemain paling kerap menyarung jersi kebangsaan berbanding pemain lain di Itali.

Impian Buffon ialah mahu bermain untuk sekurang-kurangnya semusim lagi dan dia juga mahu menjadi pemain pertama yang beraksi di enam edisi Piala Dunia.

Begitupun, final Liga Juara-Juara tahun ini menghidangkan satu lagi peluang buat Buffon kerana kejuaraan tertinggi peringkat Eropah itu adalah satu-satunya gelaran yang belum pernah dimenanginya sepanjang dilabel penjaga gol terkemuka dunia.

Dia pernah dua kali hampir menjuarainya tetapi tewas di tangan Inter Milan menerusi penalti pada final 2003 di Old Trafford.

Dua tahun lalu, giliran Barcelona pula yang mengecewakan Juventus dan bumi Berlin menyaksikan Buffon kecewa buat kali kedua dalam usahanya untuk menjulang pertandingan bola sepak paling elit di benua Eropah itu.

Bukan sedikit individu yang mahu melihat Buffon menamatkan episod dukanya di peringkat Liga Juara-Juara dengan muncul pemenang setidak-tidaknya sekali di sepanjang kariernya.

Bekas penjaga gol Real Madrid Iker Casillas juga mengharapkan Buffon muncul juara kali ini dengan berkata: “Dia (Buffon) berhak untuk menjulang Liga Juara-Juara sekurang-kurangnya sekali sebelum bersara.”

Bekas rakan sepasukannya, Andrea Pirlo pula berkata, tahap permainan Buffon tidak pernah menurun walaupun usianya semakin bertambah.

“Keupayaannya langsung tidak mencerminkan usianya yang sebenar. Penjaga gol yang lebih muda daripadanya patut berasa malu dengannya. Gianluigi boleh dianggap sebagai legenda yang masih hidup,” katanya.

Kata-kata itu pantas disokong pertahanan Juventus Giorgio Chiellini yang berkata: “Saya bersamanya pada sebahagian besar karier bola sepak saya.”

Gandingan Chiellini, Leonardo Bonucci dan Andrea Barzagli dianggap sebagai benteng pertahanan terbaik dunia dan Chiellini pula berkata label itu diberikan pemerhati bola sepak kerana mereka dilihat jarang melepaskan gol tetapi segala-galanya adalah disebabkan Buffon.

“Kami dianggap sebagai antara yang terbaik di dunia. Ia adalah kerana kami sering dibantu Gianluigi. Dia sentiasa menyelamatkan kami dengan menepis rembatan lawan yang berjaya melepasi kawalan kami. Dia seolah-olah memadam semua kesilapan kami dan itulah sebabnya saya menganggap kami hanya beroleh faedah hasil kecemerlangannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 4:15 AM