TENGKU Hassanal pada Program Jom Masuk U (JMU) 2024 Zon Timur II di Kuantan. FOTO ihsan UMPSA
TENGKU Hassanal pada Program Jom Masuk U (JMU) 2024 Zon Timur II di Kuantan. FOTO ihsan UMPSA
Asrol Awang


Kuantan: Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kepentingan dan pemerkasaan program Pendidikan Dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diberikan tumpuan khusus.

Baginda yang juga Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bertitah, TVET dan perkembangan kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global.

Titahnya, TVET menyediakan peluang buat pelajar memperoleh kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan industry, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dan mengurangkan kadar pengangguran serta menghasilkan graduan bergaji premium.

"Pemerkasaan TVET ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan dan pemain industri untuk melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi berwibawa, inovatif dan bernilai tinggi," titahnya ketika merasmikan Program Jom Masuk U (JMU) 2024 Zon Timur II di Gambang, semalam.

Siri jelajah JMU 2024 membabitkan 10 zon terpilih di seluruh negara.

Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, Jom Masuk U bukan sekadar memberi petunjuk kepada pelajar mengenai laluan masa depan mereka.

"Malah, ia platform bagi menyediakan modal insan yang terdidik dan terlatih bagi meneruskan pembangunan dan kejayaan dalam pelbagai bidang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 11:56 AM